Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berpuas hati dengan perkembangan sesi latihan pemain pemain badminton kebangsaan yang menjalani Kem Latihan Road To Tokyo.

Berdasarkan pemerhatiannya dalam tiga minggu sejak pemain pemain melaporkan diri sejak 1 Jun lalu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Choong Hann melihat perkembangan yang positif ditunjukkan para pemain.

“Pemain pemain sudah mampu membiasakan diri dengan sesi latihan dengan prosedur standard operasi yang baru.

“Sepanjang tiga minggu, mereka menjalani fasa pemulihan dan saya berpuas hati untuk melihat moral dikalangan pemain pemain yang baik serta bersemangat tinggi apabila dapat kembali semula ke gelanggang selepas hampir tiga bulan,”kata Choong Hann.

Sepanjang kem RTT pemain pemain badminton di ABM, Choong Hann telah menetapkan beberapa matlamat yang perlu dicapai oleh pemain pemain.

“Ada dua sasaran yang diletakkan kepada pemain pemain sepanjang kem RTT; iaitu mendapatkan semula kondisi pemain pemain dan meningkatkan lagi set kemahiran sekaligus membina kekuatan keseluruhan dalam diri mereka,”katanya lagi.

Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membenarkan atlet negara yang telah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk menjalani latihan secara kuarantin dengan pematuhan SOP yang ketat bagi mengelak penularan wabak Covid 19.

Kesemua pemain, pegawai dan barisan kejurulatihan yang melapor diri pada 1 Jun lalu telah menjalani ujian calit (swab test) sebanyak tiga kali dan disahkan negatif daripada jangkitan Covid 19.

Persiapan juga tertumpu kepada Piala Thomas dan Uber yang dijadual berlangsung pada Oktober di Denmark.

 

 

 

- Advertisement -