Zhuliang

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang percaya ratu terjun negara Pandalela Renong dan gandingannya Cheong Jun Hoong mempunyai potensi cerah untuk mencipta sejarah menghadiahkan pingat buat negara menerusi acara 10m platform seirama di Sukan Olimpik Ogos depan.

Walaupun Pandalela akan turun di Rio De Janeiro tanpa gandingan idealnya, Leong Mun Yee, Zhuliang berpendapat atlet kelahiran Sarawak itu berada di landasan terbaik meneruskan rentak cemerlangnya bersama Jun Hoong.

“Gandingan Pandalela dan Jun Hoong cukup konsisten di China setakat ini. Mereka menunjukkan tahap prestasi tinggi dalam acara 10m platform  seirama dan semakin bertambah baik. Sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesilapan, memenangi pingat adalah tidak mustahil.

“Memang acara ini dilihat mempunyai peluang yang baik berbanding yang lain, dan saya merasakan saingan memburu pingat akan sengit di antara Malaysia, Kanada, Korea Utara, Australia, dan sudah tentunya China,” kata jurulatih kelahiran China itu.

Sebelum ini, dua atlet itu telahpun membuktikan kemampuan apabila berganding mantap untuk meraih pingat perak di Kejohanan Terjun Dunia di Rio, Februari lalu.

Dalam pada itu, Jun Hoong akan menjadi satu-satunya atlet terjun negara beraksi dalam tiga acara di Olimpik, di mana selain 10m platform seirama, dia akan turut bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri dalam acara 3m papan anjal seirama dan 3m papan anjal individu.

Begitupun, Zhuliang berpendapat Jun Hoong tidak akan terbeban dan atlet berusia 26 tahun itu berada dalam motivasi baik untuk beraksi dalam kesemua acara itu.

Atlet olimpik negara pulang ke tanah air pada Isnin lalu selepas tempoh ‘perguruan’ lebih sebulan di Guangzhou, bagi urusan pembaharuan visa dan mereka akan kembali terbang ke China pada Jumaat untuk menjalani fasa latihan terakhir.

Ketika di London empat tahun lalu, Pandalela mencatat sejarah apabila muncul atlet pertama dari luar sukan badminton, dan juga atlet wanita pertama untuk menyumbangkan pingat buat negara di temasya sukan terbesar dunia itu apabila memenangi gangsa acara 10m platform individu.

- Advertisement -