20160103-Petaling BC(red)-Yui Hashimoto-002

20160103-Nusajaya BC(yellow)-Chong Yee Han-003

Juara Grand Prix Kebangsaan, Iskandar Zulkarnain menghadiahkan Petaling BC kemenangan cukup penting dalam usaha pasukan itu merebut kedudukan kedua Resorts World Purple League 2015 yang semakin menghampiri kemuncaknya.

Iskandar tidak bermasalah untuk menewaskan Tam Chun Hei 3-1 (11-6, 11-10, 10-11, 11-9) dan membolehkan Petaling mencatat kemenangan dramatik 10-9 ke atas Nusajaya BC sekaligus menyaksikan mereka kekal dalam persaingan empat penjuru bersama Petaling Jaya, Cheras dan Puchong United untuk menamatkan liga di tangga kedua.

Ianya adalah kemenangan pertama Iskandar selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut kepada Lee Chong Wei (Petaling Jaya), Evert Sukamta (Klang United) dan Lee Hyun Il (Muar City) dan juga kemenangan pertama buat pemain berusia 24 tahun itu sejak muncul juara GP Kebangsaan bulan lalu.  

“Ia bagus untuk kembali menang. Ia penting untuk naikkan semula keyakinan dan motivasi, dan saya akui banyak lagi yang perlu saya tingkatkan. Banyak yang saya belajar dari kekalahan kepada Chong Wei dan Hyun Il dan saya harap ia akan bantu saya untuk bermain lebih matang kerana saya tahu banyak lagi yang perlu saya tempuh selepas ini,” jelas Iskandar.  

Petaling bermula dengan hambar apabila perseorangan lelaki, Tan Vi Hen tewas mudah 0-3 (8-11, 6-11, 7-11) di tangan Chong Yee Han namun berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-4 menerusi perseorangan wanita, Yui Hashimoto yang menewaskan Lee Ying Ying 3-1 (11-8, 8-11, 11-1, 11-5).

Gandingan beregu campuran, Ardianshah/Devitika Permatasari kemudiannya memberikan pendahuluan 7-5 kepada Petaling apabila bangkit dari kekalahan set pertama untuk menang 3-1 (10-11, 11-7, 11-8, 11-4).

Begitupun, perlawanan menuju kepada penamat yang cukup mendebarkan apabila pasangan Tan Kian Meng/Teo Kok Siang cemerlang menundukkan Fernando Kurniawan/Goh V Shem 3-1 dalam acara beregu lelaki dan menjadikan kedudukan memihak kepada Nusajaya 8-7 sebelum Iskandar memastikan kemenangan tipis buat Petaling.

Dengan kemenangan ini Petaling kekal di tangga kelima dengan beza 16 perlawanan di belakang Petaling Jaya yang masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi tetapi jurulatih Petaling, Ismail Saman optimis peluang masih terbuka untuk pasukannya menamatkan saingan selaku naib juara.

“Dalam situasi sekarang, Petaling Jaya ada kelebihan kerana kita cuma ada baki satu perlawanan berbanding mereka dua. Cheras juga ada kelebihan kerana mereka akan menentang Klang. Tetapi tidak mustahil kita boleh pintas mereka jika kita boleh menang besar ke atas Ampang Jaya dan mereka pula tewas.

“Apa sekalipun, kita tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, apa yang penting adalah mereka turun berikan aksi terbaik dan tunjukkan peningkatan setiap minggu,” ujar Ismail.    

Terdahulu pada perlawanan yang berlangsung Selasa, Cheras terlepas peluang untuk kembali merampas kedudukan kedua apabila tewas 5-13 di tangan pendahulu yang sudahpun dinobatkan selaku juara, Muar City. 

 Walaupun bermula dengan cemerlang menerusi Arif Latiff yang menang 3-1 ke atas tan Chung Seang, Cheras gagal mengekalkan momentum apabila tewas kesemua empat perlawanan berikutnya termasuk kekalahan Zulfadli Zulkifli di tangan Lee Hyun Il.

Cheras yang ketinggalan 13 perlawanan di belakang Petaling Jaya perlu menang perlawanan terakhir ke atas Klang United sambil mengharapkan Petaling Jaya tewas baki kedua-dua perlawanan.  

20160103-Nusajaya BC(yellow)-Chong Yee Han-001

20160103-Petaling BC(red)-Ardiansyah & Devi Tika-001

- Advertisement -