uci.logoOleh Ku Mohd Lufti

Dua pelumba remaja Malaysia diberi peluang oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk berlatih selama lebih sebulan di bawah Program Latihan Remaja di Pusat Berbasikal Sedunia (UCI WCC) di Aigle, Switzerland bermula 14 Jun hingga 19 Julai.

Dua pelatih tersebut adalah Muhd Daniel Haikkal Edy Suhaidee dari Johor dan pelumba kelahiran Perlis, Anis Amira Rosdi.

Muhd Daniel Haikkal adalah pemenang pingat perak dalam acara perlumbaan mata (point-race) manakala Anis Amira meraih gangsa acara ujian masa perseorangan dalam kategori junior Asia di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2016 (ACC 2016) di Izu, Shizuoka, Jepun pada Januari lalu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan surat tawaran berlatih di UCI WCC Aigle sudah pun dikeluarkan oleh UCI kepada PKBM.

“Segala perbelanjaan sepanjang berlatih di UCI WCC Aigle termasuk makanan dan tempat penginapan akan ditanggung sepenuhnya UCI. Ini adalah satu penghormatan besar kepada dua pelumba remaja Malaysia.

“Mereka akan berlepas pada 14 Jun dan akan berlatih sehingga 19 Julai. Kami juga telah mengeluarkan notis makluman kepada Persatuan Berbasikal Negeri Perlis dan Persatuan Berbasikal Negeri Johor,” kata Datuk Abu Samah.

PKBM hanya perlu mengeluarkan peruntukkan tiket kapal terbang untuk ke Aigle.

Paling menarik, Anis Amira dan Muhd Daniel Haikkal dihadiahkan peluang menyertai Kejohanan Trek Remaja Dunia 2016 yang bakal diadakan di Velodrome UCI WCC di Aigle pada 20 hingga 24 Julai.

“Lebih 230 peserta berusia 17 dan 18 tahun daripada 35 negara akan menyertai kejohanan ini. Dalam hal ini, Anis Amira dan Muhd Daniel Haikkal harus berasa bangga kerana mereka bakal menyertai kejohanan berprestij di dunia,” katanya lagi.

Kejohanan ini merupakan platform pelumba pelumba trbaik dunia seperti Bradley Wiggins, Laura Trott, Francois Pervis, Rohan Dennis serta Anna Meares.

“Semua juara dunia ini pernah bertanding dalam Kejohanan Trek Junior Sedunia 2016. Saya mahu Anis Amira dan Muhd Daniel Haikkal gunakan peluang ini untuk berlatih dan ambil contoh pelumba  daripada negara terkuat dunia seperti Britain, Australia atau Perancis,” katanya.

- Advertisement -