Oleh Ku Mohd Lufti

Liga Malaysia musim 2017 bakal bermula, namun ceritanya sudah dicoret sejak penghujung tahun lalu berdasarkan kedudukan dan pencapaian semasa pasukan pasukan yang bertanding.

Ceritanya tidak banyak berbeza, Johor Darul Takzim (JDT) terus dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mendominasi Liga Super khususnya.

Namun kali ini senario bagi JDT sedikit berbeza kerana watak utama yang  bakal dikendalikan Benjamin Mora yang sebelum ini menjadi jurulatih bagi pasukan JDT 2.

Liku perjalanan pasukan pilihan ini dalam kancah Liga Super tampak tidak akan selesa sepanjang masa, kerana pencabar pencabar utama menanti kelak.

Pendatang baru, Melaka United juga antara yang perlu diberi tumpuan selain Kedah, dan PKNS FC yang dilihat aktif melakukan persiapan.

2017 pastinya menjanjikan lebih banyak rintangan kepada pasukan, lebih lebih lagi yang berkait rapat dengan kerajaan negeri.

Kisah 2016 diharapkan menjadi pengajaran, pasukan perlu mencari dana tanpa mengharapkan kerajaan negeri semata, namun ia masih belum menjadi pengajaran buat sesetengah pengurusan.

Sebaliknya, ‘drama bersiri’ menagih simpati berlaku penghujung tahun lalu sehinggalah ke saat saat akhir ketika musim 2017 bakal bermula.

Sasaran untuk menjadi liga bertaraf professional masih omong kosong ketika ini andai kebergantungan ini masih berterusan.

Apa yang exco exco FAM terdahulu bawa ke Malaysia selepas mengeluarkan sejumlah dana untuk lawatan kerja yang pernah dilakukan pada 2004ke Korea Selatan dengan objektif untuk melihat corak pentadbiran negara itu dalam mengendalikan liga dan skuad kebangsaan?

Perjanjian, kerjasama, mahupun hubungan dua hala yang dijalankan oleh FAM dengan pengendali liga di luar negara tampak masih belum menampakkan sebarang hasil sehingga kini.

2015, FAM menyerahkan tanggungjawab untuk menguruskan liga Malaysia kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP).

Samada terlalu berlembut atau masih belum memahami kerenah kerenah pasukan dalam Liga Malaysia, FMLLP perlu lebih tegas andai mahu melakukan transformasi terhadap Liga M.

Kenyataan media daripada FMLLP pada 16 Januari lalu, enam pasukan masih belum melengkapkan pendaftaran pemain kerana dokumen kontrak yang tidak lengkap, laporan perubatan yang tidak sah, tiada pengesahan Jabatan Integriti FAM bagi dokumen berkaitan dan tidak menyertakan polisi perlindungan insurans.

Sedangkan tarikh pendaftaran telahpun ditutup pada 6 Januari lalu susulan isu penarikan diri oleh Kelantan, Selangor dan Perlis.

Samada Liga M memerlukan proses revolusi secara menyeluruh, atau FMLLP sudah punya perancangan tersendiri semoga Liga M 2017 lebih kemas dan efisien serta ke arah yang lebih positif.

- Advertisement -