Kejayaan dua atlet naungan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) merangkul hatrik dalam kejohanan dunia secara langsung mempamerkan program yang dikendalikan mereka berjaya melahirkan ramai pesilat bertaraf dunia.

Lantaran prestasi cemerlang PESAKA itu membolehkannya dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Sukan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2016 pada 2 Mac ini di Hotel Concorde Kuala Lumpur.

Jaguh silat negara dan Olahragawan Negara 2015, Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohd Nasir, masing-masing berjaya merangkul gelaran hatrik dalam penampilan mereka di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Indonesia pada Disember tahun lepas.

Pada kejohanan itu, skuad silat negara menamatkan kempen dengan tiga pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa.

Kejayaan atlet-atletnya meraih pingat dalam setiap kejohanan baik di dalam dan luar negara serta kreadibiliti kepimpinan yang diterajui Tan Sri Mohd Ali Rustam secara langsung menunjukkan kegigihan PESAKA mempertingkatkan mutu sukan silat di negara ini.

PESAKA turut memain peranan dalam memberi nafas baharu serta nilai komersial kepada pertandingan silat dengan memperkenalkan Kejohanan One Silat, yang melibatkan penyertaan pesilat profesional dari dari dalam dan luar negara.

Majlis malam Anugerah SAM-100PLUS 2016 itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apabila memperkatakan tentang PESAKA, komuniti sukan tahu bahawa mereka tidak pernah menghampakan negara dalam meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan.

Dalam usaha mempertingkatkan prestasi sukan silat olahraga, PESAKA sentiasa menyediakan pelbagai program kejurulatihan, program pencarian bakat dan menganjurkan pelbagai kejohanan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Salah satu inisiatif PESAKA ialah mewujudkan program 1Sekolah 1Silat dalam tempoh lima tahun dengan menyasarkan penglibatan 10,000 sekolah. Setakat ini sebanyak 1,188 sekolah sudah memulakannya program itu.

Dalam aspek kejurulatihan pula, PESAKA menyasarkan antara 3,000 dan 4,000 jurulatih yang akan membantu menjayakan program itu.

- Advertisement -