Oleh Muhammad Aiman

Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian berpeluang merampas kedudukan teratas Liga Super Piala Remaja KPM – FAM (B-17) sekurang-kurangnya untuk tempoh 60 jam apabila mereka turun menentang Sekolah Sukan Negeri Sembilan, SMK Za’ba di Kuala Pilah, Sabtu ini.

Kemenangan 2-1 ke atas Akademi Felda, SMK Presint 14 (1) Putrajaya pada minggu lalu membantu Mutiara Impian melonjak ke tangga kedua dengan tujuh mata, hanya dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pendahulu iaitu Sekolah Sukan Negeri Terengganu, SMK Bukit Nenas.

Menentang SMK Za’ba yang baru mengutip satu mata dari dua perlawanan dan menghuni kedudukan dua terbawah, pastinya Mutiara Impian sedar ini peluang terbaik mereka untuk mencatat kemenangan ketiga dan menerajui carta liga buat kali pertama musim ini.

Begitupun, SMK Bukit Nenas yang unggul menewaskan Sekolah Sukan Negeri Perlis, SMK Syed Hassan 3-0 di gelanggang lawan minggu lalu berpotensi kembali ke kedudukan teratas sekiranya berjaya menewaskan pasukan tangga tercorot, SMK Tabuan Jaya (Sekolah Sukan Negeri Sarawak) dalam aksi yang akan berlangsung tiga hari kemudian (16 Mei).

Bukit Nenas masih belum tewas dalam tiga perlawanan pertama mereka manakala Tabuan Jaya pula belum mencatat kemenangan apabila seri sekali dan tewas dua kali.

Tabuan Jaya bagaimanapun terlebih dahulu akan turun menentang Sekolah Sukan Negeri Pahang, SMK Seberang Temerloh yang turut memburu kemenangan pertama selepas sekadar seri dalam dua aksi terdahulu.

Satu lagi aksi Liga Super akan membabitkan pertemuan di antara SMK Syed Hassan menentang Akademi Felda di Kangar – Syed Hassan mencari kemenangan pertama manakala Akademi Felda pula memburu kemenangan ketiga.

Bagi aksi Liga Perdana Piala Remaja KPM-FAM, Sekolah Sukan Negeri Johor, SMK Tun Hussein Onn berpeluang mengecilkan jurang dengan pendahulu kepada hanya satu mata seandainya berjaya menewaskan Sekolah Sukan Negeri Perak, SMK Gunung Rapat di Kluang.

Kejayaan menewaskan MSS Putrajaya minggu lalu membolehkan SSN Johor itu ketika ini berada di tempat kedua dengan enam mata, ketinggalan empat mata di belakang Sekolah Sukan Negeri Melaka, SMK Seri Kota yang tidak beraksi minggu ini.

Wakil Selangor, SMK Seksyen 11 yang berada di tangga ketiga dengan enam mata turut berpeluang merapatkan jurang mata dengan pendahulu apabila mereka bertandang ke Stadium Mini Pancarona, Putrajaya untuk menentang MSS Putrajaya yang tewas kesemua tiga perlawanan terdahulu.

Aksi lain akan menemukan Sekolah Sukan Negeri Kelantan, SMK Putera menentang SMK Datuk Peter Mojuntin (Sekolah Sukan Negeri Sabah).  

- Advertisement -