FOTO – SPORTSFLEX

Selepas tampil dengan prestasi mengecewakan dalam penampilan pertama di saingan 100PLUS Liga Premier musim lalu, MISC MIFA berhasrat menjadikan musim 2018 sebagai permulaan kebangkitan.

MIFA layak beraksi di Liga Premier musim lalu setelah menjuarai Piala FAM 2016, namun skuad yang dibimbing Jacob Joseph ketika itu bergelut mengulangi rentak sama dan hanya terselamat dari tersingkir pada penghujung saingan – menerusi beza jaringan kepada Perlis.

Sejak itu, pasukan telah membuat beberapa rombakan dan merekrut adunan pemain-pemain muda dan berpengalaman untuk memperkuatkan skuad termasuk bekas pertahanan kebangsaan S.Subramaniam, L.Rajesh selain membawa masuk bekas pengendali Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan, K.Devan.

Mereka juga mengekalkan khidmat pemain import, Kpah Sherman manakala tiga pemain import baru dibawa masuk iaitu L’Imam Seydi dari Kelantan, Bae Beom Geun dari Korea Selatan serta Elizon Araujo de Bautista dari Brazil.  

Justeru, Presiden MISC-MIFA, Datuk T.Mohan berkata sasaran pasukan itu kali ini adalah menduduki kelompok lima teratas Liga Premier dan melayakkan diri beraksi di saingan Piala Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadap skuad ini. Dengan adanya jurulatih berpengalaman seperti Devan yang pernah memenangi Liga Super dan membimbing pasukan-pasukan besar, saya merasakan kita boleh capai sasaran yang ditetapkan itu,” katanya selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi pasukan itu pada Ahad.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam, legenda bolasepak negara Datuk Santokh Singh dan penyerang skuad B-23 kebangsaan N.Thanabalan.

Tambah Mohan lagi, “Kita adalah sebuah pasukan berbajet kecil, dan perlu difahami ianya adalah sesuatu yang cukup sukar apabila bersaing dengan pasukan yang berbajet besar. Tetapi dalam semua kekangan itu dan beberapa isu di awal musim, kita berjaya elak daripada tersingkir. Kita telah belajar dari pengalaman itu, dan kita mahu buka buku baru.”

Sementara itu, Devan pula optimis dapat merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan pengurusan.

“Saya tidak rasa tertekan, ini adalah tanggungjawab saya. Sebaliknya saya rasa lebih bermotivasi dengan barisan pemain yang telah berjaya dikumpulkan, dan prestasi yang membanggakan sepanjang pra-musim, saya yakin kita boleh capai sesuatu.

“Skuad kali ini saya lihat lebih mantap berbanding tahun lalu, kita ada beberapa pemain berprofil tinggi dan pemain-pemain muda yang berbakat dan berpotensi besar,” kata Devan.

MIFA akan membuka tirai saingan 100PLUS Liga Premier musim baru dengan menentang Johor Darul Takzim II pada Jumaat, 2 Februari dan Devan optimis mereka akan bermula dengan langkah kanan.  

 

 

- Advertisement -