AirAsia berbangga menerbangkan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia yang akan berlangsung di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September 2018.

Majlis penghantaran diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) hari ini bagi 113 atlet Kebangsaan yang akan bertanding dalam sukan badminton, hoki, renang, memanah, dan gimnastik, serta kakitangan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Kami berbesar hati menerbangkan kontinjen Malaysia ke Indonesia untuk Sukan Asia.

“Tahun ini Malaysia mempunyai atlet-atlet yang amat berwibawa, dan saya yakin bahawa mereka akan memberikan yang terbaik dan membanggakan negara di acara sukan terbesar di Asia. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.”

Sejak beberapa tahun yang lalu, AirAsia telah memberi sokongan kepada ramai atlit negara dalam usaha mereka meraih kejayaan, antaranya adalah atlit berbasikal trek Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa, penerjun Leong Mun Yee, atlit bina badan Faiz Ariffin, pemain boling Syaidatul Afifah Badrul Hamid, serta pemain badminton profesional dari Akademi Badminton AirAsia Liew Daren, yang akan mewakili Malaysia di Sukan Asia.

Komitmen AirAsia terhadap sukan Malaysia adalah sebahagian dari kempen berterusan #DARETODREAM AirAsia yang mengukuhkan posisi syarikat penerbangan tersebut dalam merealisasikan impian, membangun arena sukan tempatan dan menyokong atlet negara dari pelbagai tahap dengan satu visi – untuk mengharumkan nama negara di mata dunia.

- Advertisement -