Belang dua pemain bergu lelaki muda negara semakin menyerlah di Nanjing, China apabila melakar sejarah tersendiri, mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia.

Gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ternyata beraksi di kelas tersendiri meskipun tidak diberi harapan ketika berdepan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen dipusingan ketiga hari ini.

Penampilan sulung di pentas tertinggi tampak tidak memberi sebarang tekanan kepada gandingan Malaysia yang menduduki ranking ke 35 dunia ini.

Selepas mengejutkan pilihan ke 12 dari Taiwan, Lee Jhe Huei/Lee Yang, Aaron dan Soh tampak sudah membaca gerakan dan permainan Astrup dan Rasmussen.

Set pertama memeperlihatkan penguasaan menyeluruh oleh Aaron dan Soh yang mendahului saingan sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 21-18.

Aksi berbeza dipamerkan Astrup dan Rasmussen yang mendominasi set kedua dalam usaha untuk mengheret permainan ke set penentuan.

Ketinggalan diawal permainan, Aaron Chia/Soh Wooi Yik mengikat kedudukan 11 sama sebelum terus mendominasi saingan sekaligus menutup set kedua dengan kemenangan 21-16 untuk mara ke suku akhir.

Aaron dan Soh akan menanti pemenang diantara pasangan bergu nombor satu negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan pilihan keempat dari China, Li Junhui/Liu Yuchen yang akan beraksi lewat petang hari ini.

Mengikuti jejak Aaron dan Soh, pasangan bergu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang menundukkan pasangan yang diletak selaku pilihan ke 11 dari England, Marcul Ellis/Lauren Smith.

Peng Soon dan Liu Ying menang 21-16 di set pertama, namun kecundang 17-21 di set kedua.

Pertarungan yang berlangsung lebih sejam akhir menjadi milik Peng Soon dan Liu Ying yang menutup set penentuan selaku pemenang 21-18 untuk mengesahkan slot ke suku akhir.

Dalam pada itu, perjuangan dua lagi bergu negara hanya bertahan sehingga pusingan ketiga pada hari ini selepas tewas kepada lawan masing masing.

Satu lagi pasangan bergu campuran negara, Goh Soon Huat/Shevon Lai Jamie kecundang kepada gandingan bukan pilihan dari India, R Satwiksairaj/P Ashwini 22-20, 14-21, 6-21.

Mengikuti jejak Soon Huat dan Shevon pasangan bergu wanita, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean yang tumpas kepada pilihan kelima dari Indonesia, Greysia Polli/Apriani Rahayu 21-18, 21-13.

 

 

- Advertisement -