Pesepak bola Malaysia Abdul Rashid Muhammad Akhyar (tengah) mengontrol bola diantara pesepak bola Bahrain saat babak penyisihan Grup E pada Asian Games 2018 di Stadion Wibawa Mukti, Cikarang, Jawa Barat,Senin (20/8). ANTARA FOTO/INASGOC/Djuli Pamungkas/Sup/18

Aksi terakhir skuad bawah 23 tahun negara bagi kumpulan E berakhir dengan noktah kekalahan yang menyaksikan Malaysia tumpas 2-3 kepada Bahrain .

Datuk Ong Kim Swee melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utamanya dimana beliau merehatkan tonggak utama ketika menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang.

Diawal saingan, permainan tampak didominasi Malaysia yang menyaksikan skuad negara mendahului di minit ke 20 menerusi voli cantik Muhd Syahmi Safari yang gagal ditampan kemas penjaga gol Bahrain, Ammar Ahmed.

Namun, anak didik Samir Chammam tampak lebih aggresif dengan serangan dan gerakan yang lincah untuk mencari gol penyamaan.

Kealpaan pemain pertahanan, Muhd Adib Zainuddin dimanfaatkan pemain Bahrain sebelum kapten pasukan Mohamed Hardan meledak gol penyamaan di minit ke 33.

Lagi kesilapan pertahanan Malaysia sekaligus membuka ruang kepada Bahrain untuk mencetak gol. Berpunca daripada sepakan sudut, tandukan Hamad Alshamsan melepasi kawalan penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim dan Nik Akif Syahiran Nik Mat sekaligus meletakkan Bahraih mendahului 2-1.

Serangan bertali arus Bahrain ke kubu Malaysia dengan larian deras pemain tengah dan penyerang nyata sukar untuk diserap barisan pertahanan negara.

Kim Swee terpaksa membawa masuk Safawi Rasid dan Muhd Akhyar Abd Rashid namun tampak gagal untuk mengukuhkan jentera serangan negara.

Bahrain menoktahkan kemenangan sulung dalam saingan kumpulan E apabila Mohamed Hardan menewaskan Mohd Ifwat menerusi bola lambung di penghujung perlawanan untuk pasukannya mendahului 3-1.

Malaysia bagaimanapun dihadiahkan penalti selepas Akhyar dijatuhkan Abdulrahman Ahmedi ketika masa tambahan selepas tamat 90 minit permainan.

Safawi tidak mensia siakan peluang, namun tidak mengubah hakikat, tiga mata penting milik Bahrain.

Selepas tamat tiga perlawanan, Malaysia kekal menerajui kumpulan E, berkongsi enam mata dengan Korea Selatan dibezakan berdasarkan rekod pertemuan kedua dua pasukan.

“Kami bermain tidak seperti yang dirancang. Lapan perubahan saya lakukan dan ia memberi kesan serta pemain sukar untuk bermain untuk menentang Bahrain.

“Keputusan satu perkara. Berkenaan pemain ada beberapa yang tidak memuaskan hati saya yang telah diberi peluang tetapi tidak menggunakannya dengan sebaik baiknya.

Manakala Bahrain menduduki tangga ketiga turut layak ke pusingan seterusnya, namun perlu menanti keputusan penuh kerana hanya empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga bagi semua kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik.

Dalam pada itu, jaringan tunggal Heung Min Son memastikan Korea Selatan menamatkan saingan kumpulan E selaku naib juara sekaligus layak ke pusingan 16 terbaik secara automatik selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Kyrgystan di Stadium Si Jalak Harupat.

- Advertisement -