foto – asiangames2018.id

 

 

Skuad bawah 23 tahun Malaysia membuka tirai aksi Sukan Asia 2018 dengan langkah kanan setelah menewaskan Kyrgyzstan 3-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada Rabu.

Skuad bimbingan Dato’ Ong Kim Swee itu turun dengan keyakinan tinggi tampil dan menunjukkan permainan bertenaga sebelum berjaya memecahkan kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safawi Rasid pada minit ke-37.

Penalti dihadiahkan setelah penyerang muda sensasi Akhyar Rashid dikasari oleh kapten Kyrgyzstan Tamirfan Kozubaev.

Kyrgyzstan bagaimanapun berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1 setelah Ernist Batyrkanov menanduk masuk hantaran Mustafa Iusupov pada minit ke-55 namun hanya enam minit kemudian Malaysia kembali berada di depan menerusi rembatan cantik Akhyar.

Akhyar merembat masuk bola ke gawang Kalysbek Akimaliev setelah menerima hantaran Safawi dan ianya Safawi yang sekali lagi menjadi pemangkin gol ketiga setelah hantarannya ditanduk masuk Syafiq Ahmad pada minit ke-78 untuk memastikan tiga mata buat skuad negara.

Selepas ini Malaysia akan berdepan juara bertahan, Korea Selatan pada 17 Ogos. MUHD AIMAN 

- Advertisement -