Ratu skuasy Malaysia Datuk Nicol David memulakan kempen dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Oracle Netsuite 2018 dengan langkah bergaya apabila mara ke suku akhir dalam perlawanan yang berlangsung di California, Amerika Syarikat, pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Nicol, pemain pilihan keenam, yang mendapat bye dalam pusingan pembukaan, hanya mengambil masa 26 minit untuk menyingkirkan Fiona Moverly dari England; 11-8, 11-5 dan 11-4 dalam perlawanan pusingan kedua di gelanggang kaca San Franscisco Bay Area, menurut laman sesawang kejohanan, www.oraclenetsuiteopen.com

Nicol yang berkesudahan di tempat kedua pada tahun lepas, akan bertemu juara 2016, Laura Massaro dari England, dalam perlawanan suku akhir pada Ahad, selepas pilihan keempat itu mengetepikan pemain Australia, Donna Lobban 6-11, 11-9, 11-8 and 11-4 pada Khamis.

Malaysia tidak menghantar pemain lelaki dalam kejohanan Jelajah Dunia PSA itu.

— BERNAMA

- Advertisement -