Berita gembira buat penyokong Harimau Malaya yang mahu bertandang ke Stadium Rajamangala, Bangkok bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 menentang tuan rumah, Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes pada Khamis mengumumkan satu penerbangan khas dengan tambang murah akan disediakan khas demi membawa lebih ramai ‘ekor’ Harimau Malaya menunjukkan sokongan kepada perjuangan hidup mati skuad negara.

“Ianya akan diusahakan dan ayuh satu Malaysia tunjukkan sokongan,” tulis Tony di twitternya. Kenyataan Tony itu sebenarnya sebagai respon kepada permintaan dari sekumpulan ultras yang berharap syarikat penerbangan itu akan mempertimbangkan penerbangan tambang murah ke Bangkok dengan slogan “now every Ultras can fly”.

Sebelum ini Tony dan Air Asia pernah menyediakan penerbangan khas buat penyokong Malaysia yang bertandang ke Bangkok untuk Piala AFF Suzuki 2012.

Dua tahun kemudian, Tony membuat satu pertandingan untuk memberikan tiket penerbangan percuma berserta penginapan dan tiket perlawanan kepada 12 penyokong Malaysia yang bertuah di Twitter.

Malaysia akan terlebih dahulu berdepan Thailand dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini sebelum terbang ke Bangkok untuk aksi timbal balik pada 5 Disember.

Setakat ini, ramai penyokong Malaysia termasuk Ultras Malaya sudah merancang perjalanan mereka untuk ke Bangkok.

Dengan perkembangan ini, pastinya lebih ramai penyokong Malaysia akan bertandang ke Stadium Rajamangala dan ini mungkin akan menjadikan penyokong Malaysia mencatat rekod kehadiran tertinggi di tempat lawan dalam Piala AFF Suzuki edisi kali ini. MUHD AIMAN 

- Advertisement -