Enam mata berjaya diraih hasil dua kemenangan dalam dua perlawanan pertama, bermakna tugas telah diselesaikan dengan baik, Harimau Malaya lulus ujian fasa pertama dengan jayanya.

Begitupun belum masa untuk mendabik dada memikirkan tentang tiket separuh akhir, kerana saingan sebenar baru sahaja bermula buat anak buah Tan Cheng Hoe tatkala dua aksi lebih sukar menyusul selepas ini menentang Vietnam pada 16 November diikuti Myanmar pada 24 November.

Kemenangan ke atas Kemboja (1-0) dan Laos (3-1) pada hakikatnya tidak membuktikan apa-apa kerana secara tradisi ini adalah lawan yang jarang memberikan masalah kepada pasukan negara.

Namun kemenangan ke atas mereka bolehlah dikatakan sebagai memberi keyakinan dan tonik tambahan, memastikan moral pemain berada dalam keadaan cukup positif.

Dua pasukan yang dianggap paling lemah dalam Kumpulan A ini juga pastinya telah membantu kita mengenalpasti kepincangan dan kelemahan ketara yang perlu diperbaiki jika berhasrat mengorak langkah lebih jauh.

Sudah tentunya Cheng Hoe sendiri masih belum boleh berpuas hati dengan kualiti permainan secara menyeluruh yang telah ditunjukkan barisan pemain negara dalam dua aksi awal ini.

Walaupun menentang Laos bimbingan V.Sundramoorthy dapat dilihat keserasian, persefahaman dan komunikasi antara pemain lebih baik berbanding ketika menentang Kemboja, ia masih di tahap belum boleh diberikan pujian atau dikagumi.

Kurang kreativiti untuk mendominasi tengah serta sentuhan penyudah yang tumpul masih lagi menjadi masalah utama, sehinggakan dua kali berturut-turut terpaksa mengharapkan ‘orang lama’ Norshahrul Idlan Talaha untuk menjadi penyelamat maruah.  

Mengambil kira kekuatan semasa Vietnam yang tewas hanya sekali dalam 15 aksi terakhir dan sedang menjadikan pertandingan ini sebagai pentas persiapan untuk beraksi di Piala Asia 2019, perlu diakui tugas cukup mencabar menanti Malaysia di Hanoi nanti.

Vietnam yang juga pasukan nombor satu Asia Tenggara membuka kempen mereka dengan menewaskan Laos 3-0 dan rekod menunjukkan skuad senior mereka hanya pernah tewas sekali kepada Malaysia dalam lapan pertemuan terakhir, justeru mereka tentunya mahu mengekalkan rekod cemerlang itu.

Myanmar juga bukan calang-calang, walaupun tidak mengharungi prestasi yang baik tahun ini, mereka bangkit dari ketinggalan dan menjaringkan empat gol di separuh masa kedua untuk menewaskan Kemboja 4-1 dalam aksi sulung.

Ironinya Malaysia tewas kepada kedua-dua pasukan ini pada edisi 2016 yang menyaksikan kita terpaksa pulang awal, dapatkah dendam itu dibalas kali ini atau sejarah akan berulang sekali lagi?

Harimau Malaya tidak bolseh sesekali leka kerana perjuangan sebenar baru bermula. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -