Konflik melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) nampaknya masuk ke fasa baru dan belum ada tanda ia akan dinoktahkan.

Hanya beberapa jam selepas dikatakan tidak sah dan tidak memenuhi syarat untuk diadakan, Kongres Luar Biasa persatuan itu tetap berlangsung pada Khamis menyaksikan Jawatankuasa Eksekutif baru dilantik bagi penggal 2018-2022.  

Kongres itu mengekalkan hanya tiga individu dari Jawatankuasa Eksekutif terdahulu termasuk Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai presiden, manakala Datuk Ariffin Abdul Hamid dan Omar Ali kekal sebagai Naib Presiden, selebihnya adalah wajah baru.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Nasir Hamzah yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf dilantik sebagai Timbalan Presiden baru menggantikan Dato’ Shariff Mokhtar setelah mendapat sokongan penuh kesemua 52 ahli gabungan yang hadir.

Beliau sebelum ini mahu menyumbang kepada bolasepak Kelantan dan bertanding di kerusi presiden namun Persatuan Bolasepak Jajahan KAFA ketika itu sebulat suara memilih Bibi Ramjani Ilias Khan untuk menerajui persatuan itu.   

Dua lagi slot bagi kerusi Naib Presiden diisi oleh bekas Penolong Setiausaha Agung FAS, Hamdan Hashim dan Roslin Shariff manakala 13 muka baru dilantik untuk menganggotai Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Sebagai rekod, EGM yang merupakan kali pertama dalam sejarah FAS ini diadakan selepas timbul ketidakpuasan hati di kalangan ahli gabungan mengenai pelantikan dua Naib Presiden Izhar Moslim dan Johan Kamal Hamidon secara tidak mengikut perlembagaan selain terdapat beberapa ketirisan lain.

FAS bagaimanapun tidak melayan tuntutan itu dan terbaru mereka menegaskan kongres tersebut turut tidak diakui oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan dalam perlembagaan FAS.

Menjawab mengenai kontroversi tersebut, Hamdan yang juga merupakan Setiausaha Penyelaras EGM berkata semuanya memenuhi syarat ditetapkan.  

“Mengikut perlembagaan FAS, selepas ahli gabungan meminta diadakan EGM, ia perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari dan sekiranya FAS gagal, ahli gabungan ada hak untuk mengadakannya sendiri.

“Kongres ini boleh diadakan kerana mengikut perlembagaan, ia menuntut kehadiran sekurang-kurangnya satu perdua iaitu separuh daripada ahli gabungan yang berdaftar dengan FAS. Jadi kita ada 96 ahli gabungan, yang hadir pada hari ini adalah 52 (lebih dari separuh) jadi ianya sah. Tiada keraguan mengenainya,” ujar Hamdan.    

Dalam pada itu, kurang 24 jam selepas berakhirnya kongres tersebut, Tengku Amir mengeluarkan kenyataan bahawa baginda tidak mengiktiraf kongres tersebut dan melabelnya sebagai sekadar satu ‘perjumpaan’.

Malah menurut Tengku Amir ‘pemilihan semulanya’ sebagai presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri perjumpaan berkenaan dilakukan tanpa persetujuan baginda.

“Beta sekali lagi ingin menekankan bahawa ‘perjumpaan’ tersebut tidak sah, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh beta dan persatuan. FAS telahpun mengadakan beberapa mesyuarat, dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia sejak isu ini timbul dan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ ini tidak sah telah kami berikan.

“Pendirian beta mengenai kesahihan perjumpaan yang kononnya telah diadakan tersebut adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak memenuhi artikel 30 yang termaktub dalam statut FAS. Mereka juga gagal memberi sebarang bukti kepada PSM dan FAM untuk menunjukkan mereka mempunyai korum yang cukup semasa ‘perjumpaan’ tersebut diadakan.

“Dengan itu, beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang telah dicapai semasa perjumpaan yang kononnya kongres tersebut, termasuk keputusan mengenai ahli jawatankuasa yang baru dilantik,” kata RMS. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -