Isu tunggakan gaji membabitkan 18 pemain Perlis yang sedang hangat diperkatakan ketika ini, bukanlah isu baru sebaliknya sudah berada dalam pengetahuan Malaysia Football League (MFL).

Dalam satu kenyataan media pada Rabu, MFL mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan awal dalam usaha menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain itu yang sudahpun termasuk dalam perjanjian bersama Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan MFL sepertimana dipersetujui pada 28 Disember lalu dan pasukan dari utara tanah air itu diberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan bayaran itu.

Menurut salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MFL Mustaza Ahmad, MFL sebelum ini sudah mengumumkan akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan hutang berkenaan.

“Tuntutan pemain-pemain Perlis itu sebenarnya sudah ada dalam perjanjian bersama di antara MFL dan PFA, ini bukan tuntutan baharu. Kita sudah mencari jalan untuk mengatasi masalah itu. PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia musim 2019.

“PFA masih memiliki tempoh masa untuk menyelesaikan masalah itu dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain ini,” katanya.

Mengenai pertikaian berterusan tentang status Perlis yang dinaikkan pangkat dari Piala FAM ke Liga Premier musim ini sedangkan pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu dilanda masalah hutang, Mustaza berkata kelulusan itu diambil berdasarkan komitmen dan perancangan pengurusan baharu PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan memantapkan kewangan pasukan pada musim ini.

“Kita tahu ada pihak yang masih mempertikaikan status Perlis sebagai pasukan Liga Premier, tapi kita benarkan penyertaan mereka berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan. Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

“Jadi Perlis dipilih kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka lebih sedikit,” katanya.

Sementara itu, Mustaza turut mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa MFL mengamalkan ‘double standard’ apabila tidak mengambil tindakan ke atas pasukan lain yang didakwa turut bermasalah atas alasan kerana ia membabitkan pasukan Ahli Lembaga Pengarah MFL sendiri.

Menurutnya, ia adalah tanggapan tidak tepat memandangkan Selangor dikenakan denda RM1,500,000 tapi dikurangkan kepada RM500,000 manakala Sarawak RM500,00 tetapi denda dikurangkan kepada RM200,000 tahun lalu meskipun mereka mempunyai wakil dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Apa yang dilakukan oleh MFL adalah apa sahaja kes akan diteliti sepenuhnya dengan segala penjelasan dan dokumen akan dikumpul sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Selagi tiada keputusan, kes berkenaan tidak akan dihebahkan kepada umum melainkan pasukan terbabit sudah mengeluarkan kenyataan sendiri,” ujar Mustaza. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -