JDT, Perak idam buka tirai dengan langkah kanan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/02/jdt-perak-idam-buka-tirai-dengan-langkah-kanan">
Twitter
Pinterest

foto – Malaysian Football League

Menjelang aksi tumpuan minggu pertama Liga Super 2019 antara juara lima kali berturut-turut Johor Darul Takzim dan juara Piala Malaysia Perak yang juga merupakan perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Larkin, pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan memasang impian untuk memulakan musim dengan langkah kanan.

Di atas kertas, JDT dilihat sebagai pasukan pilihan namun ketua pasukan, Harris Harun mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic.

Bagi Harris, dia tidak mahu episod duka Harimau Selatan yang tewas di tangan Kedah pada perlawanan sumbangsih 2017 menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 selepas terikat 1-1 sepanjang 90 minit, berulang sekali lagi.

“Kami sudah bersedia dan mahu membuka tirai Liga Malaysia dengan satu kejayaan. Bagaimanapun kami tidak mahu mengambil mudah cabaran Perak kerana mereka juga antara salah satu pasukan pencabar apatah lagi memenangi Piala Malaysia 2018.

“Jadi ia bukan satu perlawanan yang mudah seperti yang dijangka oleh mana-mana pihak tetapi seperti saya katakan tadi, kami sudah bersedia dan mahu fokus kepada pasukan sendiri kerana kekuatan JDT adalah kerana kami bermain sebagai satu pasukan,” kata pemain kelahiran Singapura itu.

Bagi ketua pasukan Perak, Shahrul Saad pula, dia mengakui pasukannya berdepan misi sukar untuk pulang dengan kemenangan tatkala JDT dilihat terlalu unggul dan kebal ketika bermain di laman sendiri.

Shahrul bagaimanapun tetap teruja untuk membantu Perak memburu tiga mata seterusnya menjulang trofi itu buat kali pertama sejak 2006.

“Sudah pasti ia menjadi satu perlawanan sukar buat kami yang mana kami bertemu juara Liga Super musim lalu. Namun ia juga menjadi satu perlawanan yang baik untuk Perak bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan kami sendiri pada musim ini.

“Mereka memiliki pemain tempatan dan import berkualiti tinggi seperti penyerang yang dibawa masuk dari Liga Thailand, Diogo (Santos) tetapi ia tidak menjejaskan semangat kami untuk memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sebagai rekod, JDT telah menjulang Piala Sumbangsih sebanyak tiga kali dalam tempoh empat musim terakhir (2015, 2016, 2018) manakala Perak juga pernah memenanginya tiga kali (1999, 2005, 2006). MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0