Barisan exco Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menuntut Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) supaya tidak mengabaikan kebajikan pemain skuad Singa Utara walaupun pasukan berkenaan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia 2019 oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

PFAM dalam satu kenyataan menegaskan pengurusan PFA perlu bertanggungjawab, dengan tampil menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin, bagi memastikan kebajikan pemain skuad Singa Utara terbela.

“PFAM ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL kerana memberi tempoh selama seminggu, untuk pihak Perlis FA mengemukakan rayuan.

“Oleh itu, PFAM berharap agar pihak Perlis FA memanfaatkan ‘talian hayat’ yang diberikan itu dan membuktikan komitmen untuk menyelesaikan masalah ini, bagi membolehkan nasib para pemain terus terbela dan tidak diabaikan,” jelas PFAM.

Persatuan berkenaan yang mewakili suara pemain bola sepak di negara ini pada masa sama, turut berterima kasih kepada MFL yang memberi tempoh 30 hari kepada bekas pemain Perlis untuk mencari pasukan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam pada sidang media, semalam memaklumkan mereka memberi tempoh seminggu kepada PFA, mengemukakan rayuan berhubung penyingkiran skuad Singa Utara daripada Liga Malaysia 2019.

Beliau memaklumkan MFL bersetuju memberi tempoh 30 hari kepada pemain Perlis, mencari pasukan baharu walaupun tempoh pendaftaran pemain bagi musim pertama sudah ditutup pada Rabu lepas.

Untuk rekod, Ahli Lembaga Pengarah MFL mencapai keputusan sebulat suara pada Rabu lepas, untuk menyingkirkan Perlis daripada saingan Liga Malaysia 2019 setelah mendapati PFA, tidak memiliki kewangan kukuh pada musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji.

— BERNAMA

- Advertisement -