Setiausaha Agung Kelab Bolasepak Felda United Afizal Abu Othman menegaskan pihaknya akur dengan hukuman yang dikenakan oleh Malaysia Football League (MFL) atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Beliau berkata, Felda United tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk MFL sebaliknya lebih fokus kepada usaha memperkemaskan lagi pengurusan pasukan supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

“Sebenarnya memang sangat lega kerana antara tujuh pasukan yang didenda, Felda United salah satu pasukan yang menerima denda yg ringan. Pemotongan 50 peratus daripada geran tahunan dalam keadaan sekarang ini, kita rasa denda itu memberi satu pengajaran dan pengalaman yang baik kepada Felda United untuk kita buat semula menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada MFL yang memang banyak memberi nasihat dan bantuan daripada segi sokongan kepada Felda United. Sebelum ini, kelab ini berdepan masalah pelesenan dan sekarang menjadi salah satu pasukan kena denda. Jadi isu ini mematangkan kita untuk kita buat yang terbaik untuk pasukan,” katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan tujuh pasukan Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Premier) dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Bagaimanapun lima daripada tujuh pasukan iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Namun MFL tidak terus menghukum sebaliknya kesemua pasukan yang dikenakan hukuman itu berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

Kelantan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak serta Melaka juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan kepada pasukan terbabit.

Menurut Afizal, pihaknya tidak terkejut dengan hukuman berkenaan memandangkan kesalahan itu sudah termaktub dalam peraturan malah MFL juga sudah memberi penjelasan awal sebelum pengumuman hukuman dibuat.

“Pihak MFL sudah memanggil saya dan pihak pengurusan bagi memaklumkan lebih awal isu pemotongan geran dan isu denda yang akan dikenakan oleh MFL. Secara dasarnya memang kami lewat hantar dokumen kepada MFL atas beberapa faktor yang kita tak boleh elak.

“Jadi isu pemotongan geran itu kita akan buat rayuan dengan kadar segera. Walaupun pemotongan 50 peratus saya harap pemotongan itu dapat dikurangkan lagi supaya penggunaan geran dapat digunakan sewajarnya,” katanya.

- Advertisement -