2016 Kedah FA - Khairul Helmi
Aksi pemain Kedah; Khairul Helmi Johari ketika menentang Perak di Stadium Darulaman dalam kempen Liga Super Malaysia 2016. Kredit Foto – khairil ajhar / www.asiana.my

Setelah menjadi antara tonggak utama memacu kemaraan Kedah sehingga ke pentas final buat kali kedua berturut-turut, ketua pasukan Kedah Khairul Helmi Johari tidak rela terlepas aksi penting tersebut yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, pada Ahad.

Sehingga kini, Khairul, belum lagi berada pada tahap kecergasan penuh namun pemain paling lama menyarung jersi Lang Merah itu yakin sempat pulih tepat pada waktunya bagi membolehkan namanya disenaraikan di dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya masih ada masa sebelum jurulatih membuat keputusan. Kecederaan saya sudah hampir pulih jadi sepatutnya tiada masalah, terpulang kepada penilaian jurulatih untuk menurunkan yang beliau rasakan benar-benar bersedia. Apa yang penting pada situasi ini adalah kekuatan mental.

“Kita telah berada di pentas ini tahun lalu, jadi saya yakin rakan sepasukan sedar apa perlu dilakukan, kita tidak boleh membenarkan diri dikuasai tekanan mahu menang sebaliknya melaksanakan tugas sebaik mungkin di atas padang. Saya berjanji kami semua akan tampilkan satu permainan yang berkualiti,” ujar Khairul Helmi.

Khairul Helmi atau dikenali sebagai K-Own, tidak beraksi dalam dua perlawanan terakhir Kedah iaitu ketika separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang PDRM yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada 15 Oktober, dan juga aksi penutup Liga Super menentang Felda United pada 22 Oktober.

2016 Piala Malaysia Akhir - Kedah vs Selangor
Aksi menentang Kedah pada Ahad akan menjadi penampilan ke-49 buat Selangor di pentas final, di mana mereka muncul juara sebanyak 33 kali, terbaru tahun lalu dengan menewaskan Kedah 2-0. Kredit Foto – Kamarul Akhir / www.asiana.my

Ketika ketiadaannya, Tan Cheng Hoe telah menggandingkan pemain muda Syawal Nordin dengan pemain import dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan di jantung pertahanan Kedah.

Seandainya sempat cergas, pemain berusia 28 tahun itu bakal menjadi pilihan utama untuk digandingkan semula dengan Seung Hwan serta diapit Azmeer Yusoff serta Rizal Ghazali di benteng terakhir pasukan Kedah.

Peranan Khairul Helmi nyata cukup signifikan buat Kedah malah aksi bertenaga meyakinkannya turut berjaya memikat pengendali skuad kebangsaan untuk disenaraikan dalam senarai 26 pemain bagi menjalani latihan fasa akhir menjelang Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar bulan depan.

Sepanjang bersama Kedah, Khairul Helmi telah membantu pasukannya menjulang treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia 2007, selain kembali beraksi di Liga Super dengan menjuarai Liga Perdana 2015.

- Advertisement -