Oleh Muhammad Aiman

Perak yakin mereka sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 tahun depan setelah kerajaan pusat meluluskan peruntukkan RM152 juta sebagai membantu menjayakan persiapan menganjurkan temasya itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman berkata, “Kami sedang memantau dengan teliti segala kerja-kerja persiapan SUKMA, terutamanya membabitkan pembinaan dan penaiktarafan venue dan fasiliti sukan yang akan digunakan sewaktu SUKMA nanti.

“Setakat ini kami berpuas hati dengan perkembangan di setiap venue, semuanya berjalan lancar dan mengikut perancangan yang telah kita susun.”

Beliau yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Belia Perak di Ipoh pada Sabtu turut memaklumkan bahawa Kompleks Renang dan Stadium Indera Mulia telahpun ditutup buat sementara bagi kerja-kerja pembaikpulihan, manakala Stadium Negeri hanya akan ditutup selepas tamatnya saingan Liga Super dan Liga Premier.

“Tetapi ini tidak bermakna kerja-kerja penaiktarafan di Stadium Perak terjejas atau dihentikan, ianya dibuat secara berperingkat malah pembaikpulihan di tempat seperti bilik persalinan sudahpun selesai,” katanya.

Selain itu, Shahrul turut menyatakan bahawa SUKMA di Perak bakal menjanjikan kelainan berbanding edisi terdahulu kerana menurutnya Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir  telahpun meminta agar setiap daerah di negeri itu terlibat di dalam penganjuran temasya dwitahunan itu.

“Beliau telah mengetengahkan idea itu ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa SUKMA peringkat negeri baru-baru ini. Beliau mahu semua rakyat negeri Perak merasai pengalaman dan bahang SUKMA.

“Sekurang-kurangnya satu jenis sukan akan diadakan di setiap negeri. Ini boleh dianggap sebagai satu cabaran besar bagi kami jika mengambil kira dari segi logistik tetapi kami percaya ia boleh dilaksanakan.”

Untuk rekod tahun 2018 akan menjadi kali kedua Perak menjadi tuan rumah, setelah kali pertama menganjurkannya pada 1994.

- Advertisement -