Pemain Negeri Sembilan, Danish Haziq Saipul Hisham menyatakan kesediaan untuk kembali memperkuatkan pasukan bolasepak B-22 negara pada bila-bila masa andai khidmatnya diperlukan pengendali, Dato’ Ong Kim Swee.

Danish, bekas pelatih skuad Harimau Muda C sebelum ini pernah dipanggil menganggotai skuad B-22 ketika di bawah kendalian Frank Bernhardt dan beraksi di beberapa kejohanan seperti Nations Cup di Melaka, Kejuaraan AFF B-19 di Vietnam selain mengikuti latihan di Chiba, Jepun.

Namun, kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kanan ketika latihan pra-musim bersama skuad Hoben Jang Hoben menyebabkan pemain bek kanan itu digugurkan sekaligus menyebabkan Kim Swee yang dilantik semula sebagai jurulatih B-22 pada Mac lalu melihat kepada opsyen lain.

Situasi terbaru menyaksikan Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Kelayakan AFC B-23 di Bangkok dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ketika ini berdepan situasi sukar memandangkan hanya enam sahaja pemain yang melapor diri pada hari pertama latihan pusat Rabu lalu.

Ini berikutan keengganan beberapa pasukan melepaskan pemain mereka dek jadual padat Liga Malaysia.

Justeru Danish berkata, “Melihat kepada situasi semasa, saya percaya jurulatih berdepan saat sukar untuk mengumpulkan pemain. Pemain terikat dengan komitmen jadi ini bermakna semua kena bekerja keras kerana pasukan masih belum stabil jadi sudah tentunya mengambil masa.

“Sebenarnya saya tengok pasukan ini sudah mempunyai pemain-pemain yang bagus, tapi jika jurulatih kekurangan pemain dan berikan kepercayaan dan peluang saya bersedia untuk tolong setakat apa yang saya mampu. Kecederaan saya sudah hampir pulih sepenuhnya dan saya boleh kembali menjalani latihan penuh dalam masa terdekat,” kata Danish.

Danish ditemui Sports247 ketika hadir pada majlis memperkenalkan but baru PUMA, The PUMA ONE di Bukit Bintang pada Jumaat. But tersebut yang digambarkan dengan tiga perkataan – FIT, FAST dan FEEL boleh didapati di pasaran bermula 7 Julai.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah dua lagi pemain skuad B-22 iaitu pemain Perak, Ahmad Khairil Anuar Zamri (Beto) dan pemain Selangor, Syahmi Safari. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -