Oleh Ku Mohd Lufti

Permulaan yang baik daripada pelumba tempatan di peringkat pertama lumba berbasikal jelajah Le Tour de Langkawi 2017 khususnya buat pasukan Terengganu Cycling (TSG).

Pelumba muda dalam pembikinan, Nur Amirul Fakhruddin berada di kelas tersendiri apabila menamatkan hari pertama dari Kuala Berang ke Kuala Terengganu dengan gelaran raja bukit.

Kejayaan ini sekaligus meletakkan Amirul selaku pelumba Malaysia pertama menyarung jersi Merah selaku Raja Bukit LTdL sejak ia diperkenalkan pada 1996.

Amirul antara pelumba negara yang berada dikelompok depan sepanjang perlumbaan yang cukup rancak dengan aktiviti perpecahan peloton kepada kelompok kecil sepanjang 124.8 kilometer.

Pelumba berusia 25 tahun ini turut dibantu seorang lagi pelumba negara, Loh Sea Keong sekaligus berjaya mengungguli dua pendakian Kategori 4 di Gerdong dan Pelong untuk meraih lapan mata.

Beliau terus berada di kelompok depan sebelum memperlahankan kayuhan untuk kembali dalam peloton di kilometer ke 59 sekaligus memberi ruang kepada pakar pecut untuk merebut jersi teale atau raja pecut.

22 Kilometer menuju penamat, Loh Sea Keong yang juga pemenang jersi kuning Jelajah Malaysia 2013 terus memimpin perlumbaan bersama sama pelumba pasukan Keyi Look Cycling, Maxat Ayazbayev.

Tatkala Nur Amirul sudahpun sah bergelar Raja Bukit bagi peringkat pertama LTdL 2017 hari ini, perebutan bagi tiga lagi jersi semakin rancak.

Peloton bagaimanapun bergabung dengan pendahulu ketika di 15 kilometer terakhir tatkala kelajuan semakin meningkat dalam misi merebut gelaran juara peringkat pertama.

Pelumba pelumba United Healthcare bertukar posisi untuk memimpin perlumbaan bagi memburu jersi pendahulu keseluruhan, raja pecut dan pelumba terbaik Asia.

Kerancakkan bertukar tragedi di tujuh kilometer terakhir apabila berlaku kemalangan melibatkan pelumba pelumba.

Pakar pecut TSG, Anuar Manan dan Hariff Salleh antara yang terlibat sekaligus meranapkan impian untuk memburu kejuaraan peringkat pertama.

Peluang ini dimanfaatkan oleh pelumba lain yang terselamat untuk melakukan henjutan menuju penamat, antaranya pemenang jersi kuning tahun lalu, Jaques Van Resburgh (Dimension Data), Jakub Mareczko dan Filippo Pozzato (Wilier Triestina).

Namun, pelumba kelahiran Australia, Scott Sunderland daripada pasukan Isowhey Sports Swisswellness nyata lebih pantas apabila terlebih dahulu melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2 jam 54 minit 45 saat untuk muncul juara peringkat pertama.

Ryan Gibbons daripada Dimension Data kedua manakala Nicolas Marini daripada Nippo Vini Fantini melengkapkan podium.

Selain muncul juara peringkat pertama, Sunderland juga menyarung jersi kuning selaku pendahulu dan raja pecut  selepas tamat perlumbaan peringkat pertama.

Manakala Shiki Kuroeda daripada Aisan Racing pula muncul pelumba terbaik Asia sekaligus menyarung jersi putih.

- Advertisement -