Pelantikan Ampersand Sports Sdn Bhd., sebagai syarikat tujuan khas (SPV) untuk Liga Malaysia (Liga-M) mampu melonjakkan lagi nilai komersial bola sepak tempatan pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata walaupun syarikat berkenaan baru sahaja ditubuhkan tahun ini, beliau yakin sokongan padu yang diberikan individu yang berada di belakang syarikat berkenaan mampu membantu memberi nilai tambah kepada Liga-M.

Beliau memaklumkan Ampersand Sports akan menyumbang minimum RM20 juta setahun dan cuba untuk memenuhi sasaran RM40 juta sebagaimana yang disasarkan menerusi perjanjian dengan FMLLP, Rabu lepas.

“Selain itu ia akan dipastikan jumlah ini meningkat dari tahun ke tahun. Bersama-sama mereka, kami menyasarkan hak penajaan mencecah RM40 juta setahun pada akhir tempoh mereka,” katanya dipetik sebagai berkata menerusi posting terbaharu dalam laman Facebook FMLLP.

Kevin berkata jika Ampersand Sports berjaya mencapai sasaran ditetapkan, semua pasukan yang bertanding dalam Liga-M akan mendapat lebih banyak habuan selain pendapatan tambahan daripada hak penyiaran dan pendapatan lain yang sedang diusahakan FMLLP.

Ia sekali gus, jelas Kevin, dapat memenuhi aspirasi Pengerusi FMLLP merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memperoleh sasaran pendapatan sekitar RM80 hingga RM90 setahun untuk Liga-M.

Baru-baru ini, FMLLP menandatangani perjanjian dengan Ampersand Sports bagi melantik syarikat itu sebagai agensi eksklusif mencari penajaan saingan Liga-M bermula tahun depan.

Mengikut perjanjian itu, Ampersand Sports akan mencari penajaan bermula tahun depan sehingga 2023 merangkumi tajaan untuk saingan Liga Super, 100Plus Liga Perdana, TM Piala Malaysia dan Piala FA.

Perjanjian juga disasarkan untuk meraih antara 10 dan 12 penaja dalam tempoh berkenaan bagi mengumpul nilai tajaan minimum RM104 juta.- BERNAMA

- Advertisement -