Penyerang veteran Selangor, Amri Yahyah bertekad mahu membuktikan kepada pengkritik betapa pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan pada 13 Mei depan bukan satu kesilapan.

Jurulatih baru Harimau Malaya, Nelo Vingada dikritik hebat setelah menyenaraikan sembilan pemain berusia 30 tahun ke atas ketika mengumumkan nama 26 pemain untuk menjalani latihan pusat pertama kendaliannya di Larkin bermula Isnin lalu dan Amri yang berusia 36 tahun adalah pemain tertua.

Namun bagi Amri yang berpengalaman luas di pentas domestik dan juga antarabangsa, dia berpendapat umur sekadar satu angka.

“Bagi saya, usia pemain tidak seharusnya menjadi satu isu. Kita mempunyai adunan pemain berpengalaman dan pemain muda di dalam pasukan dan apa yang penting adalah tunjukkan kepada jurulatih mengapa kita berhak dipilih dan dikekalkan di dalam pasukan.

“Jika jurulatih merasakan seorang pemain berusia 36 tahun seperti saya masih boleh menyumbang di arena antarabangsa, sudah tentunya beliau telah membuat penilaian dari segenap aspek. Selagi kudrat saya masih ditagih, saya akan sentiasa memberikan komitmen terbaik,” kata Amri.

Bekas pemain Johor Darul Takzim itu turut menyatakan bahawa dia akan bekerja keras merebut tempat di dalam kesebelasan utama meskipun menyedari perlu bersaing dengan seorang lagi penyerang senior Safee Sali dan juga penyerang utama skuad kebangsaan ketika ini, Ahmad Hazwan Bakri.

Selain Amri dan Safee, pemain lain yang berusia 30 tahun dan ke atas di dalam skuad adalah Amirulhadi Zainal, S.Kunanlan, Shahrom Kalam, Aidil Zafuan, Safiq Rahim, S.Chanturu dan Azamuddin Akil. 

Untuk rekod, Amri telah menyarung jersi kebangsaan selama 13 tahun bermula 2004 dengan pencapaian terbaik adalah muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010. Ketika di Piala AFF Suzuki 2016 di Myanmar yang mana Malaysia tersingkir seawal peringkat kumpulan, Amri menjaringkan dua gol.

Pemain kelahiran Tanjung Karang itu juga merupakan antara pemain paling berjaya dalam arena bolasepak tempatan dengan sejumlah 13 kejuaraan bersama Selangor dan Johor Darul Takzim. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -