Jurulatih pasukan tenis kebangsaan, Muliyadi Jamal tetap mengharapkan kejutan dari barisan pemainnya di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di sebalik kebimbangan mengenai beberapa faktor yang tidak menyebelahi kem negara.

Antara yang paling utama adalah kedudukan ranking pemain-pemain negara di mana Muliyadi menyatakan kesemua lima pemain lelaki dan wanita negara berada di ranking yang lebih rendah berbanding pemain-pemain Thailand, Indonesia dan Filipina.

Selain itu, Muliyadi turut menyatakan bahawa musuh utama bagi pemain-pemain negara adalah tahap keyakinan rendah di mana mental mereka cepat ‘koyak’ sekaligus berpendapat andai dua perkara ini dapat diatasi, tidak mustahil sasaran meraih pingat gangsa dapat direalisasikan.

“Berdasarkan analisa yang kita lakukan, mental pemain kita tidak cukup kuat berbanding pemain lawan yang boleh bermain atau berjuang sehingga tamat perlawanan. Jadi, kita turut mengatur sesi perundingan bagi setiap pemain bersama pakar psikologi berpengalaman selain mendapatkan juga bantuan dari Institut Sukan Negara bagi mengatasi masalah kelemahan mental.

“Mengambil kira faktor-faktor ini saya akui pemain kita akan berdepan tugas berat di KL2017. Peluang kita tetap ada, soal lawan kuat atau tidak itu perkara kedua tetapi ia bergantung kepada keadaan fizikal dan mental mereka sewaktu perlawanan. Kita sasarkan gangsa dengan sandaran terbaik adalah dari acara beregu lelaki dan wanita,” ujarnya.     

Muliyadi turut menyatakan bahawa Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 26-30 Julai depan akan memberikan gambaran awal mengenai kekuatan dan kemampuan pemain-pemain negara untuk memberikan cabaran di KL2017 nanti.

Pencapaian terbaik negara dalam sukan tenis di pentas Sukan SEA adalah satu perak dan empat gangsa di edisi KL 2001 – pingat perak disumbangkan pasukan wanita menerusi gandingan Khoo Chin Bee, Tan Lynn Yin dan Liaw Chen Yee manakala gangsa pula oleh V.Selvam (perseorangan lelaki), Chin Bee (perseorangan wanita), Adam Jaya-Nazreen Fuzi (beregu lelaki) dan V.Selvam-Chin Bee (beregu campuran).

Tenis di KL 2017 akan berlangsung dari 21-26 Ogos di Kompleks Tenis Jalan Duta dengan enam pingat emas dipertandingkan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -