Atlet para negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi menggegar dunia apabila memecahkan rekod dunia dalam acara powerlifting di kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para ke 11 yang berlangsung di Dubai hari ini.

Beliau memulakan percubaan pertama dengan angkatan beban seberat 210 kg nyata tidak berdepan masalah untuk melakukannya sekaligus mendahului carta kedudukan yang melibatkan sembilan penyertaan bagi kategori 72kg.

Percubaan kedua dengan beban seberat 221kg juga berjaya diatasi untuk terus menyuntik semangat atlet berusia 22 tahun itu sekaligus memasang impian untuk mengatasi rekod dunia yang dilakukan atlet kelahiran Iran, Roahallah Rustami, 229 kg ketika di Sukan Para Asia 2018.

Percubaan ketiga, Bonnie memilih untuk melakukan angkatan 230 kg sekaligus bakal melakar rekod baharu dunia.

Namun percubaan pertamanya pada angkatan 230 kg ini dibatalkan oleh juri, namun ia ditebus pada percubaan kali kedua apabila angkatan anak kelahiran Sarawak ini diiktiraf sekaligus menjadikannya juara.

Pingat perak menjadi milik Hu Peng dari China yang melakukan angkatan terbaik, 214kg manakala atlet para kelahiran Nigeria, Nnamdi Innocent melengkapkan podium dengan angkatan sebanyak 213 kg.

Kejayaan Bonnie Bunyau yang juga merupakan pemenang Anugerah Atlet Para Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019 turut mendapat pujian daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

 

 

 

- Advertisement -