Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada hari ini membuat keputusan untuk menunda sekali lagi pertembungan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara yang sepatutnya berlangsung di Pyongyang pada 8 Jun depan.

AFC dalam satu kenyataan rasmi menyatakan bahawa keputusan itu adalah  wajar mengambil kira ketegangan geo-politik di semenanjung Korea justeru perlawanan dijadualkan semula berlangsung pada 5 Oktober depan.

“Walaupun 8 Jun 2017 telah dicadangkan sebagai tarikh baru perlawanan dari tarikh asal 28 Mac 2017, perkembangan terbaru memaksa AFC memikirkan semula keputusan itu berdasarkan faktor keselamatan dan kawalan keselamatan.

“AFC akan terus memantau keselamatan dan keadaan di ibu kota Korea untuk tempoh beberapa bulan akan datang termasuklah perlawanan Piala AFC antara Kigwancha SC (Korea Utara) menentang Erchim Fc (Mongolia) pada 31 Mei selain perlawanan Kelayakan Piala AFC B-23 tahun yang akan diadakan di Pyongyang pada Julai depan.

“Selepas itu, AFC akan membuat keputusan mengenai venue bagi perlawanan Malaysia – Korea Utara,” menurut kenyataan tersebut.    

Penundaan perlawanan menentang Korea bermakna Malaysia yang baru sahaja melantik Nelo ‘The Professor’ Vingada sebagai ketua jurulatih baru Harimau Malaysia akan membuka tirai pusingan kelayakan pada 13 Jun menentang Lubnan di Stadium Larkin sekaligus pentas pertama menguji wibawa pengendali dari Portugal itu.

Setakat ini, satu-satunya  aksi Malaysia bagi tahun 2017 adalah menentang Filipina pada 22 Mac lalu yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan dan ia juga menjadi aksi terakhir di bawah kendalian Dato’ Ong Kim Swee.

- Advertisement -