Catatan masa 11.45m dilakukan ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara 100m di Kejohanan ASA Speed Series 2, Bloemfontein, Afrika Selatan pada Mac lalu belum diiktiraf sebagai rekod kebangsaan yang baru, demikian menurut Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata walaupun di atas kertas, catatan masa itu sudahpun mengatasi rekod 11.50s berusia 24 tahun milik G.Shanti, mereka memerlukan dokumentasi rasmi sebagai pengesahan dari penganjur kejohanan itu bagi mengiktiraf ianya sebagai rekod kebangsaan.

Justeru, Karim berkata buat masa ini catatan itu dianggap sebagai catatan masa peribadi terbaik Zaidatul manakala rekod kebangsaan kekal milik Shanti yang melakukannya ketika Kejohanan Pra Sukan SEA pada 1993.

“Sebaik keputusan perlumbaan keluar, memang semua anggap ianya sebagai rekod baru. Tetapi untuk mengesahkannya, kita perlukan dokumen berkaitan. Kita sudah pun meminta dokumen itu dari Persatuan Olahraga Afrika Selatan (SAAA) dua minggu selepas berakhir kejohanan, tetapi setakat ini tidak mendapat sebarang maklumbalas.

“KOM juga telah merujuk kepada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), memang nama Zaidatul belum dimasukkan dalam senarai ranking. Mungkin ada sesuatu tidak kena dengan sistem catatan masa penganjur, saya tidak pasti apa masalah sebenar dan amat kesal, kecewa dengan mereka.

“Ianya tidak adil buat atlet kerana mereka menunjukkan prestasi yang baik tetapi akhirnya rekod itu tidak diiktiraf gara-gara kecuaian penganjur,” kata Karim kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pemilihan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Majlis Olimpik Malaysia.

Sebagai makluman, sebuah akhbar di Afrika Selatan sebelum ini melaporkan SAAA akan menyiasat kesahihan catatan masa di kejohanan tersebut yang menimbulkan keraguan apabila lebih dari 60 peratus atlet berjaya memperbaharui rekod peribadi dan kebangsaan dalam acara pecut serta lari berhalangan.   

Zaidatul ketika itu memenangi pingat perak, berkesudahan di belakang pelari tuan rumah Tamzin Thomas (11.44s) yang mewakili University of Western Cape manakala tempat ketiga menjadi milik Tsaone Sebele (11.48s) yang mewakili University of Johannesburg.

“Kita akan menunggu dokumen untuk sedikit masa lagi. Saya akan berjumpa dengan SAAA dan IAAF di London bulan depan bagi mendapatkan penjelasan mengenai apa terjadi. Mungkin selepas Kejohanan Dunia, kita boleh umumkan sama ada rekod itu diiktiraf atau tidak,” tambah Karim lagi.  

Berdasarkan prestasi semasa termasuk kejayaan meraih satu emas (4x100m) dan satu perak (100m) di Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang melabuhkan tirai Khamis lalu, Zaidatul disebut-sebut sebagai salah seorang atlet mampu menyerlah menyumbangkan pingat di KL 2017, Ogos depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -