Bukan mahu mendabik dada, namun keyakinan di kem pasukan Chinlone negara begitu tinggi betapa mereka mampu untuk menyumbangkan pingat emas pertama kontijen negara di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Dalam sidang media diadakan di Bukit Jalil pada Rabu, jurulatihnya, Yusof Abdullah berkata keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi semasa barisan pemainnya yang menunjukkan peningkatan sejak beberapa bulan lalu termasuk meraih emas di kejohanan pendedahan di Myanmar pada April lalu.

“Kita menyasarkan untuk menang pingat dalam acara 1 (non-repetition primary) dan 3 (linking) kerana di Singapura dua tahun lalu kita menang pingat dalam dua acara itu. Dibantu persiapan yang nampak berjalan lancar dan kelebihan bermain di tempat sendiri saya percaya potensi untuk menang emas itu ada.

“Lagipun, Myanmar yang merupakan kuasa utama Chinlone Asia Tenggara tidak akan menyertai kesemua empat acara. Kita sebagai tuan rumah boleh ambil bahagian dalam semua acara tetapi pasukan luar hanya boleh sertai dua. Jadi ini juga satu faktor yang memberi kelebihan kepada kita,” ujar Yusof.

Selain non-repetition primary dan linking, dua lagi acara yang dipertandingkan dalam sukan Chinlone adalah non-repetition secondary dan same stroke. Dua tahun lalu, Malaysia memenangi pingat perak dalam acara non-repetition primary dan gangsa dalam acara linking.

Sementara itu, Yusof turut mendedahkan bahawa pasukan Chinlone negara akan sekali lagi mendapat sentuhan bekas jurulatih Myanmar, Khin Maung Win bermula Jumaat ini justeru memperkasakan lagi persiapan tatkala tinggal lebih kurang dua bulan sahaja lagi untuk berlangsungnya temasya dwitahunan itu.

Untuk rekod, Chinlone pertama kali dipertandingkan di Sukan Sea Myanmar 2013 dengan negara tuan rumah mendominasi sukan itu dengan merangkul enam daripada lapan emas yang dipertandingkan manakala Malaysia pula pulang dengan enam gangsa. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -