Mohd Izam Ikmal Izamli yang baru menyertai pasukan ONEXOX Racing Team membuat kejutan apabila muncul sebagai pelumba terpantas sesi kelayakan CP150 dalam pusingan pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Sepang minggu ini.

Izam, yang beraksi dengan jentera Honda selama ini, langsung tidak menghadapi sebarang masalah menyesuaikan rentak tunggangannya bersama jentera Yamaha yang disediakan oleh pasukan ONEXOX Racing Team.

Beliau mencatatkan masa terpantas 1’17.025s setelah mempamerkan strategi yang hebat mengatas pelumba-pelumba lain di saat-saat terakhir.

Izam berkata, “Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada team saya, ONEXOX Racing Team untuk pencapaian di luar jangkaan ini.

“Namun, strategi yang telah dibincangkan oleh pasukan sangat berjaya. Seperti yang telah diketahui, kategori CP150 memang sukar dengan cabaran-cabaran untuk berada di hadapan.”

“Cuaca hari ini sememangnya tidak menentu. Namun begitu, saya akan lebih bersedia untuk perlumbaan esok.”

Juara bertahan CP150 Azroy Hakeem Anuar memulakan kempen musim 2022 dengan langkah kanan. Azroy mencatat masa kedua terpantas sesi kelayakan dengan 1’17.068s.

Catatan masa ketiga terpantas dirakam oleh Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dengan 1’17.207s.

Dalam kategori CP125 pula, pelumba-pelumba pasukan ONEXOX Racing Team dan ONEXOX TKKR racing Team melaung amaran awal apabila berjaya mendominasi sesi kelayakan.

Mohd Syafiq Rasol mendahului dengan catatan masa 1’21.948s, disusuli oleh Md Hafiza Rofa dengan catatan masa 1’22.190, serta, Abdullah Qayyum Abd Razak dengan masa 1’22.519.

Akhir sekali, bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amysar M Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing telah menyambar masa terpantas dalam sesi kelayakan dengan catatan masa 1’24.437s.

Catatan masa kedua terpantas dirakamkan oleh Amirun Haziq Johan yang berlumba secara persendirian tanpa pasukan dengan catatan masa 1’24.714s diikuti oleh Md Adam Haikal Jahar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing di tempat ketiga dengan catatan masa 1’25.409s.

 

CP150:

Md Izam Ikmal Izamli (ONEXOX Racing Team), 1’17.025s
Azroy Hakeem Anuar (Honda Yuzy Idemitsu Team), 1’71.068s)
Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), 1’17.207s

CP125:

Mohd Syafiq Rasol (ONEXOX TKKR Racing Team), 1’21.948s
Mohd Hafiza Rofa (ONEXOX TKKR Racing Team), 1’22.190s
Abdullah Qayyum Razak (ONEXOX Racing Team),1’22.519s

WIRA KBS:

Md Syamil Amysar Mohd Iffende (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing Team), 1’24.437s
Amirun Haziq Johan (Privateer), 1’24.714s
Mohd Adam Haikal Johar (PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing Team), 1’25.409s

- Advertisement -