Penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula sedia sahut seruan jersi Harimau Malaya sekiranya khidmatnya diperlukan dalam masa terdekat terutama pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Bagi penyerang dari Brazil ini yang telah lima musim beraksi di Liga Malaysia, dia anggap sebagai satu penghormatan besar jika diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.
“Bagi saya ianya satu penghormatan. Jika proses naturalisasi berjaya dan saya akan bersedia jika di beri peluang musim ini untuk beraksi bersama pasukan Malaysia.
“Saya sudah beraksi selama lima tahun disini, saya gembira bermain di sini begitu juga dengan keluarga dan Malaysia ibarat negara saya juga,” kata De Paula.
Sudah berasakan negara ini cukup sebati dengan dirinya selain menyukai suasana di sini, De Paula akui sudah ada perbincangan awal dengan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dia sedang menunggu kata akhir daripada badan induk bola sepak negara itu.
“Masih belum ada kata putus kerana melibatkan peraturan. Saya akan terus menanti dan berharap impian ini akan menjadi kenyataan.
Dalam masa sama, dia yang berkesempatan menonton aksi skuad negara menentang Timor Leste pada playoff kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, akui begitu teruja corak permainan ditampikan anak buah Tan Cheng Hoe.
Baginya, pemain pemain yang dipanggil Tan Cheng Hoe mempunyai kualiti tersendiri dan mampu untuk pergi lebih jauh, namun andai kehadirannya diizinkan FAM dan tersenarai dalam 23 pemain yang akan menyarung jersi Harimau Malaya, ia bukan bermakna Malaysia akan menjadi semakin kuat.
Seperti pemain pemain lain, peluang yang diberikan untuk menyarung jersi kebangsaan digunakan untuk memperbaiki tahap permainan individu selain mengukur sejauh mana prestasi semasa ketika bersama pasukan atau kelab asal.