Ranjit

Kongres Persekutuan Hoki Asia (AHF) 2023 yang akan berlangsung di Mungyeong City, Korea, pada 24 Mac ini menyaksikan dua Naib Presiden KHM iaitu Ranjit Singh Gurdial Singh dan Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, telah dipilih oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi bertanding jawatan Ahli Exco.

Keputusan sebulat suara untuk mencalonkan Ranjit Singh dan Dato’ Ahmad Najmi telah dibuat oleh barisan Ahli Lembaga Eksekutif KHM pada mesyuarat yang telah berlangsung 30 Januari lalu.

Selain memegang jawatan selaku Naib Presiden KHM, En. Ranjit Singh merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil KHM dan Presiden Persatuan Hoki Pulau Pinang, sementara Dato’ Ahmad Najmi pula merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Naib Presiden Persatuan Hoki Negeri Pahang.

Delegasi dari Malaysia yang akan berlepas ke Mungyeong Korea pada 22 Mac (Rabu) akan diketuai oleh Timbalan Presiden KHM, En. Jadadish Chandra serta Naib Presiden KHM, Datin Mary Sadiah Zainuddin.

Jelas Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, beliau mahu “suara” Malaysia dan Pasukan Negara Asia didengari di peringkat AHF selain mahu wakil yang diletakkan itu juga merupakan individu yang mampu untuk memperjuangkan hak pasukan di Asia khususnya Malaysia.

“Saya mencadangkan En. Ranjit Singh kerana pengalaman yang cukup luas dimiliki beliau dalam arena hoki selain pandangan serta kepakaran yang dimilikinya untuk bersuara di AHF. Pencalonan beliau juga mengambil kira bahawa hak pengadil juga cukup penting untuk didengar dan kami mahu pengadil daripada Malaysia diangkat ke persada yang lebih tinggi termasuk mengadili perlawanan di Sukan Olimpik.

Dato’ Ahmad

“Saya juga mencalonkan wakil yang boleh bersuara untuk membantu pasukan kebangsaan iaitu Dato’ Ahmad Najmi dan saya yakin jika Dato’ Ahmad Najmi dipilih sebagai salah seorang Exco AHF, beliau akan membawa suara tentang slot kelayakan Sukan Olimpik bagi negara-negara Asia, kelebihan yang sepatutnya dimiliki oleh pasukan daripada Asia, kejohanan-kejohanan di Asia dan isu-isu lain yang berkaitan.

“Oleh kerana itu, saya melihat dua calon yang telah dihantar oleh KHM merupakan calon yang cukup layak untuk bertanding bagi jawatan tersebut,” ujar Dato’ Sri Subahan.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Subahan Kamal turut menjelaskan beliau tidak berhasrat untuk bertanding dalam apa-apa jawatan sama ada di AHF atau Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) kerana mahu menumpukan sepenuhnya perhatian bagi membawa Malaysia ke pentas Sukan Olimpik dan meletakkan pasukan negara di tempat yang paling tinggi.

- Advertisement -