Benjamin Dyball menghadiahkan kemenangan peringkat kedua buat pasukan Sapura Cycling Team apabila mengungguli peringkat pendakian sukar dari Dataran Shah Alam ke Genting Highlands pada Peringkat 4 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 hari ini, sekali gus muncul penyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan yang baru.
Selepas kemenangan Marcus Culey pada Peringkat 1 di Tampin, Dyball yang diharap membantu pasukan itu pada pendakian ke Genting, tidak menghampakan Sapura apabila melintasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 22 minit 2 saat, 23 saat di depan pelumba tempat kedua dari Interpro Cycling, Hernan Aguirre dan 44 saat di depan pelumba Floydâs Pro Racing, Keegan Swirbul.
Dyball, 29, pelumba kelahiran Australia yang menyarung jersi pasukan St George Continental pada 2017 dan 2018 serta menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam LTdL tahun lalu, kini mengumpul catatan individu keseluruhan 17 jam 25 minit 42 saat – 27 saat di depan Aguirre dan 50 saat di depan Swirbul.
Pelumba Oliverâs Real Food Racing, Angus Lyons yang menyarung jersi merah Raja Bukit masih mengekalkan jersi yang disarung sejak Peringkat 1 itu walaupun sekadar menduduki tempat ke 42, hari ini.
Kesungguhannya memastikan pungutan mata maksimum di zon pendakian pertama di Empangan Batu dan kemudian Hulu Yam, membolehkannya mengumpul 12 mata lagi, sekali gus mengukuhkan cengkamannya dengan 47 mata, 22 mata di depan Dyball.
Sementara itu, penyarung jersi kuning dan hijau di akhir Peringkat 3 di Putrajaya semalam, Travis McCabe (Floydâs Racing) masih mengekalkan jersi hijau Raja Pecut apabila turut berada dalam kelompok depan dan bersaing menambah mata di tiga zon pecutan di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Kepong.
Dia kini mengumpul 43 mata, 15 mata di depan pencabar terdekat Michael Freiberg (Pro Racing Sunshine Coast) dan mereka dijangka terus beradu kekuatan pada baki empat laluan landai selepas ini.
Jersi putih Pelumba Terbaik Asia yang disarung pelumba kebangsaan Malaysia, Sofian Nabil Omar Bakri turut berpindah tangan kepada pelumba Vino-Astana dari Kazakhstan, Vadim Vadim Pronskiy yang menduduki tempat keempat dalam pendakian ke Genting itu.
Namun, hari bersejarah menjadi milik Dyball, yang mengukir namanya sebagai penakluk Genting, yang lazimnya menjadi peringkat penentuan dalam LTdL, selepas laluan ke puncak pusat peranginan tanah tinggi itu digugurkan pada empat edisi lalu.
Selepas melepasi zon pendakian pertama di Empangan Batu dan kemudian Ulu Yam, dia terus berada tidak jauh di belakang kumpulan kecil yang membuat pemisahan awal.
Berbekal bantuan dua rakan sepasukan, Cristian Raileanu dan Marcus Culey, mereka memastikan setiap cubaan meloloskan diri oleh pakar pendaki pasukan lain tidak terlalu jauh, hanya kira-kira 2 minit di depan, sebelum meningkatkan tempo kayuhan.
âDan apabila dapat meloloskan diri bersama dua pelumba lain di kumpulan depan, saya hanya mengekori mereka dan yakin dapat meninggalkan mereka dan bertindak mencicirkan dua pelumba itu pada 2km terakhir.
âSegala-galanya mengikut perancangan kerana saya mempunyai rakan sepasukan yang bagus. Saya akan cuba mengekalkan jersi kuning ini tetapi saya jangkakan akan berlaku banyak cubaan serangan awal pada baki peringkat selepas ini,â kata Dyball.
Sementara itu, McCabe tidak hampa terlepas jersi kuning yang disarung semalam, kerana sedar dia bukan pendaki handalan.
âSaya tetap gembira kerana dapat mengekalkan jersi hijau (Raja Pecut) ini. Malah saya sendiri terkejut kerana dapat mendaki dengan baik hari ini, mungkin disebabkan tenaga tambahan ketika menyarung jersi kuning yang dimenangi semalam.
âKetika kira-kira 12km ke penamat, saya berada di belakang peloton tetapi mendapati kondisi kaki saya berada dalam keadaan baik dan terus cuba bersaing dengan pakar pendaki lain,â kata pelumba Amerika Syarikat yang menduduki tempat ke-12, hanya 3 minit 1 saat di belakang pemenang Dyball.
Sementara itu, penyarung jersi merah tajaan Genting, Lyons berkata, dia sedar pendakian ke puncak Genting menarik kerana kehadiran ramai pakar mendaki.
âJadi hari ini saya pastikan dapat menambah mata dalam dua zon pendakian awal. Dan dengan beberapa zon pendakian mudah selepas ini, saya akan cuba mempertahankan jersi Raja Bukit ini sehingga ke penamat,â katanya.
Peringkat 5 LTdL 2019 esok membabitkan kayuhan panjang sejauh 200.1km dari Tanjung Malim ke Taiping, dengan tiga zon pecutan di Sungkai, Kampar dan Sungai Siput serta satu zon pendakian mudah di Bukit Berapit.