Oleh Ku Mohd Lufti

Lebih seminggu selepas bergelar Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail tidak segan silu untuk membuka cerita masalah dalam persatuan.

Tunku Ismail mendedahkan FAM mengalami masalah kewangan sekaligus tampak merencatkan seketika perancangannya  untuk melakukan perubahan.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama media cetak dan elektronik yang terdiri daripada wartawan, ketua pengarang dan pengarang  di Johor Bahru.

“Semasa saya masuk hari pertama sebagai presiden baharu FAM, dengan sut bersedia untuk memulakan tugas. Saya buat pemeriksaan, saya dapatkan semua fail, saya panggil semua berjumpa saya – FAM tiada wang.

“Anda tahu berapa kekurangannya? Kurang RM40 juta. FAM tiada wang. Bagaimana hendak kendalikan liga? Bagaimana hendak urus pasukan kebangsaan, hendak tukar jurulatih baharu, hendak beli barang (keperluan pasukan)?

“Sudah pasti tiada siapa yang mempunyai jawapan. Okey, saya tidak mahu gusar mengenainya. Saya mahu terus ke hadapan,” kata Tunku Ismail.

Pendedahan ini sekaligus menjawab persoalan tentang keputusan Tunku Ismail untuk memberhentikan 20 petugas FAM baru baru ini.

“Mereka (orang ramai dan peminat) perlu tahu apa yang kita boleh buat dan apa yang kita tidak boleh buat.

“Kita kena realistik. Jadi, untuk struktur semula organisasi, kenapa perlu belanja lebih untuk bayar staf yang tidak buat sebarang kerja dan bazirkan duit FAM,” katanya lagi

Masalah kewangan ini sekaligus tampak ‘menghalang’ Tunku Ismail untuk mengesahkan Mario Gomez sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya, menggantikan Datuk Ong Kim Swee.

“Mario minta gaji yang lebih tinggi daripada apa yang diperoleh semasa mengendalikan JDT, bagi saya ini adalah skuad kebangsaan dan itu tidak mungkin dapat dipenuhi.

“Ini bukan kelab JDT. Saya tawar seberapa banyak dan dia (Gomez) kata hendak fikir dahulu sebab hendak lebih duit. Kemungkinan kita (FAM) tidak akan ambil dia, sebab kita pun tak ada duit,” katanya lagi.

- Advertisement -