Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan kesediaan untuk membantu mencari jalan penyelesaian seandainya terdapat pasukan yang keberatan untuk melepaskan pemain mereka bagi menjalani latihan bersama skuad B-22 kebangsaan bulan depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata seramai 25 pemain akan disenaraikan oleh pengendali Dato’ Ong Kim Swee selepas perlawanan persahabatan menentang Melaka United pada 22 Jun ini sebelum surat panggilan dihantar kepada pasukan yang terlibat untuk melepaskan pemain mereka.

“Sekiranya ada masalah, kita akan duduk berbincang dan cari jalan penyelesaian. Salah satu cara yang kita fikirkan, jika ada ruang untuk ubah jadual perlawanan, kita akan tolong sebab kita mahu situasi menag-menang bagi dua-dua pihak.

“Umpamanya Felcra, dua pemain mereka (Adib Zainuddin dan N.Thanabalan) adalah tonggak pasukan itu. Jadi, kita tidak mahu Felcra tertekan, rasa teraniaya seterusnya timbul rasa berat hati mahu melepaskan pemain. Kita cuba cari jalan terbaik, tetapi kalau semua opsyen yang ada tidak boleh guna, akhirnya kita minta agar agenda nasional diutamakan,” kata Yusoff. 

Kim Swee ketika ini sedang giat mempersiapkan pasukan B-22 kebangsaan untuk dua tugasan besar iaitu menghadapi Kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok dari 19-23 Julai depan disusuli temasya Sukan Sea Kuala Lumpur dari 19-30 Ogos.

Wujud kebimbangan di kem negara bahawa kebanyakan pasukan akan berat untuk melepaskan pemain memandangkan mereka akan mengharungi jadual padat Liga Malaysia pada Julai di mana saingan liga dan Piala Malaysia berlangsung serentak.

Malah, pasukan Liga FAM, Felcra FC menyatakan bahawa mereka hanya bersedia melepaskan pemain pertahanan tengah Adib serta penyerang semakin mencipta nama, Thanabalan dengan syarat dua pemain itu dibenarkan bermain untuk mereka untuk baki tiga perlawanan peringkat kumpulan menentang DBKL (9 Julai), Shahzan Muda (16 Julai) dan Hanelang (23 Julai).

Timbalan Presiden Felcra FC, Datuk Hazian Murad dalam satu sidang media baru-baru ini berkata, “Jika FAM enggan melepaskan kedua-dua pemain impaknya amat besar kepada kita kerana mereka adalah ayam tambatan kita. Kita bergantung harap kepada mereka untuk menang baki perlawanan seterusnya menjayakan misi layak ke Liga Perdana.”

Skuad B-22 negara ketika ini sudahpun kembali menjalani latihan di Wisma FAM setelah mengharungi tiga perlawanan persahabatan di China baru-baru ini yang menyaksikan kekalahan 0-1 kepada China B-22, seri 2-2 menentang skuad simpanan Guangzhou R&F dan menang 3-0 ke atas skuad simpanan Guangzhou Evergrande. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -