
Selepas muncul juara keseluruhan kategori perempuan pada Pusingan Pertama, pemain golf remaja Amirah Nur Hanania Afanizam enggan menjadikan kejayaan tersebut sebagai tekanan apabila kembali turun beraksi pada Kejohanan Golf 100PLUS Malaysian Golf Association (MGA) National Junior Development Programme (NJDP) 2026 – Pusingan Kedua di Kelab Golf A’ Famosa, Melaka, bermula 8 hingga 10 September ini.
Amirah tampil dengan keyakinan selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Pusingan Pertama di Kelab Golf Kinrara, Puchong, apabila mengumpul keseluruhan 225 pukulan, 12 di atas par untuk muncul juara Perempuan B serta juara keseluruhan kategori perempuan.
Pencapaian itu menjadi satu permulaan positif buat Amirah, namun beliau tidak mahu terlalu memikirkan kejayaan lalu
Sebaliknya, Amirah memilih untuk memberi tumpuan kepada permainannya sendiri dan mahu turun beraksi dengan lebih tenang tanpa meletakkan sasaran yang boleh membebankan dirinya.
“Saya masih akan cuba sebaik mungkin dan saya tak akan meletakkan tekanan pada diri saya sendiri nanti,” katanya.
Amirah turut mempunyai pengalaman beraksi di Kelab Golf A’ Famosa sebelum ini dan mengakui mempunyai cabaran tersendiri.
“Saya pernah main di sana. Lapangan di sana ada yang pendek dan panjang dan green speed disana laju,” katanya lagi.
Kejohanan ini menawarkan tiga pusingan dimana pusingan pertama berlangsung di Kelab Golf Kinrara, Puchong.
Pusingan Kedua dijadual berlangsung di Kelab Golf A Famosa, Melaka manakala Kelab Golf Permai Pura Sungai Petani, Kedah menjadi venue bagi Pusingan Ketiga dan Pusingan Akhir berlangsung di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari 27 hingga 30 Oktober.
Kejohanan Golf 100PLUS Persatuan Golf Malaysia (MGA) Program Pembangunan Remaja Kebangsaan (NJDP) menjadi platform buat 30 pemain yang menunjukkan prestasi dan keputusan yang memberansangkan terpilih ke Kejohanan Terbuka Antarabangsa Remaja Malaysia (Malaysia Junior International Open) yang akan berlangsung pada November tahun ini.





























