super.leagueOleh Muhammad Aiman

Felda United mengukuhkan cengkaman mereka di kedudukan teratas Liga Super setelah menundukkan pasukan bermasalah, Kelantan 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Felda yang dikejutkan Perak minggu lalu, menguasai perlawanan sejak dari sepak mula dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Khairul Fahmi Che Mat, namun gol yang dicari hanya menjelma pada minit ke-41 menerusi Lutfulla Turaev.

Bekas penyerang Kelantan, Francis Forkey Doe menjadikan kedudukan 2-0 lima minit selepas separuh masa kedua bersambung sekaligus mengesahkan tiga mata milik The Fighters.

Anak buah Irfan Bakti ketika ini mendahului carta liga dengan 24 mata, tiga mata mengatasi Johor Darul Takzim yang hanya akan turun beraksi menentang Pulau Pinang pada Jumaat.

Selangor pula bangkit dari dua keputusan seri tanpa jaringan sebelum ini untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas T-Team, seterusnya menyekat langkahan cemerlang skuad kendalian Rahmat Dermawan itu yang menang empat perlawanan berturut-turut.

Adam Nor Azlin muncul wira buat pasukan gergasi merah kuning yang kembali beraksi di Stadium Shah Alam selepas enam bulan itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan perlawanan.

T-Team sebelum itu mendahului perlawanan pada minit ke-54 menerusi sentuhan Patrick Dos Santos, namun kelebihan itu hanya bertahan seminit apabila Mauro Olivi menjadikan kedudukan 1-1.

Kemenangan membolehkan Selangor kekal di tangga ketiga dengan 18 mata manakala T-Team pula kekal di tangga keempat dengan 15 mata.

Di Stadium Hang Jebat, jaringan masa kecederaan Nazirul Naim Che Hashim membantu Perak mengikat PDRM 2-2, dalam satu-satunya perlawanan yang menyaksikan kesemua gol dijaringkan pemain tempatan.

Skuad The Bos Gaurus merebut pendahuluan seawal minit ketiga permainan menerusi Fazrul Hazli Kadri namun jaringan Shafiq Jamal dan Lot Abu Hassan membolehkan PDRM mendahului 2-1 sebelum Nazirul meledak pada minit akhir untuk memastikan Perak tidak pulang dengan tangan kosong.

Sementara itu, Terengganu akhirnya mencatat kemenangan pertama selepas empat kekalahan berturut-turut apabila menundukkan Sarawak 3-2.

Gol buat skuad sang penyu dijaringkan Joseph Kalang Tie, Nordin Alias dan Ashari Samsudin manakala Sarawak membalas menerusi Ndumba Makeche dan Junior Aparacido.

Dan dalam satu lagi perlawanan, jaringan German Pacheco membantu Pahang mengikat Kedah 1-1 di Darulmakmur. Kedah sebelum itu membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi Ahmad Fakri Saarani.

Keputusan seri menyaksikan Kedah berada di tangga ketujuh, terikat 12 mata bersama Kelantan dan Terengganu manakala Pahang pula kekal di tangga kesepuluh dengan sembilan mata.

- Advertisement -