Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak spekulasi yang mengatakan bahawa mereka bersikap tidak adil dan sengaja mahu menafikan peluang buat Kedah untuk beraksi di saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun hadapan.  

Badan induk itu sebelum ini menjadi sasaran kritikan khususnya oleh penyokong Kedah susulan keputusan tidak memberikan Lesen AFC kepada skuad Lang Merah yang merupakan syarat wajib bagi beraksi di pertandingan tersebut.

Justeru, ia menyebabkan Kedah yang muncul juara Piala FA tahun ini dan layak secara merit beraksi di Piala AFC terpaksa menggigit jari melepaskan slot tersebut kepada pasukan kedua paling berkelayakan selepas mereka iaitu Pahang yang mempunyai Lesen AFC.

Menjelaskan perkara berkenaan, Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Amin berkata pemberian lesen tersebut adalah berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab FAM yang dibangunkan bersama dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Ianya selari dengan garis panduan AFC dan peraturan ini telah dihantar kepada AFC untuk mendapat pengesahan sebelum ia dilaksanakan di peringkat tempatan.

Justeru Hamidin berkata kemelut ini berpunca dari kesilapan Kedah sendiri yang tidak memanfaatkan peluang dan tempoh masa diberi untuk memenuhi segala syarat ditetapkan bagi mendapatkan Lesen AFC.

“Sudah jelas dan nyata hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan).

“Oleh itu, hanya dokumen-dokumen yang dimuat naik dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan diteliti bagi memastikan lesen diberikan adalah benar-benar tepat.

“Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. AFC juga jelas menyatakan bahawa tiada dokumen luar dari sistem CLAS yang boleh dipertimbangkan.

“Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan,” kata Hamidin.

Tambahnya, Badan Rayuan (AP) Pelesenan Kelab FAM bagaimanapun memilih untuk menerima penyerahan lewat penyata kewangan diaudit oleh Kedah bagi memberi mereka ruang untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan lesen kelab di peringkat kebangsaan.

Perkara ini dibenarkan kerana dalam peraturan tersebut terdapat pengecualian boleh dibuat dalam pemberian lesen kebangsaan.

“Bagaimanapun, jika Lesen AFC turut diberikan dalam situasi ini, ia jelas satu tindakan yang tidak betul kerana mengikut rekod dalam sistem CLAS, tiada penyata kewangan diaudit yang telah dihantar oleh Kedah.

“Jadi adalah satu keputusan yang betul untuk tidak memberikan Lesen AFC kepada Kedah dan mencalonkan pasukan lain yang telah pun memiliki Lesen AFC untuk mengisi slot ke Piala AFC. Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman,” tegasnya.

Hamidin juga menempelak kenyataan dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bahawa mereka tidak diberitahu mengenai hal ini sedangkan FAM  telahpun menghantar surat bertarikh 1 November 2017 memaklumkan kepada mereka berhubung keputusan dibuat oleh Badan Rayuan iaitu pasukan itu hanya diberi kelulusan untuk Lesen Kelab FAM manakala masih gagal untuk Lesen Kelab AFC yang membawa maksud Kedah tidak layak untuk beraksi pada pertandingan Piala AFC 2018. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -