Terengganu FC semakin digeruni selepas mempamerkan aksi memberangsangkan dalam dua perlawanan terdahulu untuk menduduki tangga kedua CIMB Liga Super 2020 sekali gus berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan dalam baki 6 perlawanan selepas ini.

Kemenangan yang diperoleh dalam dua perlawanan terdahulu meletakkan TFC di kedudukan kedua dengan hanya perbezaan tiga mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih kekal dengan rekod bersih tanpa kalah.

Namun, ketua jurulatih, Nafuzi Zain enggan anak buahnya terus dibuai dengan pencapaian itu kerana apa sahaja boleh berlaku khususnya dalam aksi menentang Melaka di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Apatah lagi skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu juga dalam momentum terbaik ketika ini selepas mereka mencalar rekod tanpa kalah Perak pada minggu lalu dan pastinya Melaka enggan memberi laluan mudah kepada TFC dalam misi memburu tiga mata.

Tambah Nafuzi, pengalaman yang dimiliki pemain-pemain dalam pasukan itu termasuklah penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sudah cukup untuknya menggambarkan cabaran sengit menanti anak buahnya.

“Pencapaian sekarang ini belum menunjukkan pasukan kita sudah bagus kerana masih ada enam lagi perlawanan dan selepas berakhir semua perlawanan, barulah kita boleh menilai sejauh mana bagusnya pasukan ini, tidak guna untuk kita dibuai dengan kemenangan lalu.

“Sekarang ini, semua pasukan sedang berebut untuk buru tiga mata dalam semua perlawanan dan saya percaya dengan kedudukan TFC sekarang ini, Melaka tidak akan bagi laluan mudah kepada kita.

“Mereka ada ramai pemain-pemain senior dan berpengalaman kalau nak dibandingkan dengan pasukan kita, jadi saya jangkakan perlawanan malam esok begitu sukar untuk kami.

“Apa-apa pun, pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan di atas padang dan mahu atau tidak, tiga mata mesti dalam genggaman”, katanya.

Bekas juara Piala FA 2011 ini melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Sabah pada minggu lalu untuk terus memberi tekanan kepada JDT diikuti Perak di tangga ketiga selepas tewas 0-1 kepada Melaka.

Selain perlawanan antara Melaka dan TFC, dua lagi aksi CIMB Liga Super bakal berlangsung pada hari ini membabitkan Sabah yang akan menentang Selangor, manakala JDT pula akan menerima kunjungan Perak.

Nyata, pengendali Selangor, B. Sathianathan perlu hadir dengan perancangan yang lebih rapi untuk menentang Sabah apabila sekadar pulang seri tanpa jaringan menentang PJ City FC pada minggu lalu dan hanya sempat merasa satu kemenangan sahaja pada perlawanan pertama di awal musim, Februari lalu.

JDT pula sudah pasti enggan membiarkan mana-mana lawan mencalar rekod bersih tanpa kalah mereka termasuk Perak yang akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Tiga lagi perlawanan yang akan berlangsung pada Sabtu adalah Kedah yang akan menentang PJ City FC, PDRM bertemu Felda United manakala UiTM FC akan melawan Pahang.

- Advertisement -