Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenakan denda sebanyak US$15,000 (RM66,330) kepada juara Liga Super, Johor Darul Takzim.

Ini kerana mereka tidak menghantar ketua jurulatih, Benjamin Mora menghadiri sidang media pra-perlawanan Piala AFC menentang kelab Filipina, Global FC pada 13 Mac lalu.

Jawatankuasa Tatatertib AFC dalam satu kenyataan memaklumkan skuad Harimau Selatan itu dikenakan denda berkenaan kerana melanggar Artikel 3.3.9 Kod Tatatertib Piala AFC 2017.

Selain itu, penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim turut didenda US$10,000 (RM44,220) atas kesalahan sama.

Dalam aksi Kumpulan F berlangsung di Stadium Larkin pada 14 Mac, JDT membelasah Global FC dengan jaringan 4-0 dan kini mendahului kedudukan kumpulan dengan tujuh mata.

Untuk rekod ini adalah kali kedua JDT dikenakan hukuman oleh AFC. Pada 2015, JDT dikenakan hukuman gara-gara kegagalan mengawal pasukan ketika menentang South China di Stadium Mongkok, Hong Kong.

- Advertisement -