Oleh Muhammad Aiman

Saingan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM B-14) musim 2017 akan membuka tirai pada Sabtu dengan berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih yang mempertemukan SMK Gunung Rapat dari Perak dan SMK Seberang Temerloh dari Pahang.   

Perlawanan dijadual berlangsung di gelanggang SMK Gunung Rapat di Ipoh dan kedua-dua pasukan dilihat bermotivasi tinggi, sudah bersedia untuk memulakan cabaran musim baru dengan langkah kanan.

Bagi jurulatih SMK Gunung Rapat, Azli Kamal Azami, “Kami akan menentang sebuah pasukan yang cukup berpengalaman dan telahpun bermain bersama untuk satu tempoh lama. Sudah tentu ia satu perlawanan sengit dan saya berharap kita mampu terjemahkan prestasi terbaik. Kami sasarkan permulaan yang positif.” 

Manakala ketua jurulatih SMK Seberang Temerloh, Mohamad Sahbudin Mohd Arof pula berpendapat pasukannya mempunyai sedikit kelebihan menuju ke aksi ini.

“Saya rasa tekanan sudah tentunya pada pasukan tuan rumah, jadi kami akan bermain permainan kami seperti biasa dan tidak bermain secara bertahan. Ia pastinya sesuatu yang bagus jika kami dapat mulakan musim ini dengan memenangi Piala Sumbangsih yang akan menjadi suntikan bagi mengharungi musim baru Liga KPM.”

Untuk rekod, musim lalu SMK Gunung Rapat muncul juara Liga Perdana KPM dalam situasi penuh dramatik apabila keputusan seri pada perlawanan terakhir membantu mereka mengecewakan SMK Seri Kota dengan beza jaringan setelah kedua-dua pasukan terikat dengan 32 mata.

Manakala SMK Seberang Temerloh pula menamatkan saingan Liga Super KPM di tangga kedua dengan 30 mata, tujuh mata di belakang juara SSM Bukit Jalil. Dengan SSM Bukit Jalil tidak mengambil bahagian kali ini, maka Seberang Temerloh mendapat slot merebut Piala Sumbangsih kali ini.  

Saingan Liga KPM B-14 bagi tahun 2017 akan menyaksikan penyertaan 22 buah pasukan dari seluruh negara, dengan sejumlah 110 perlawanan tidak termasuk aksi separuh akhir dan akhir manakala sebanyak 18 pasukan berentap dalam kategori B-17. 

Bagi saingan musim baru ini juga akan menyaksikan penyertaan pasukan akademi dari Johor Darul Takzim, SMK Bukit Indah bagi kedua-dua kategori B-14 dan B-17 yang dijangka akan menambah lagi kehangatan dan kemeriahan saingan.

- Advertisement -