JOHOR sah dijulang sebagai juara keseluruhan temasya SUKMA XX MSN 2022, sekaligus melakar sejarah memenangi kejuaraan keseluruhan buat kali pertama sejak bermula edisi pertama sukan itu pada 1986. 

Kontinjen selatan tanahair itu melengkapkan kempen SUKMA XX dengan menambah 3 emas lagi hari ini – menerusi pemain perseorangan badminton kebangsaan Ng Tze Yong dan dua emas dalam tinju. 

Ia sekaligus mengesahkan dominasi dan kedudukan Johor sebagai kuasa baru SUKMA dengan kutipan keseluruhan 77 emas,  52 perak dan 43 pingat gangsa untuk jumlah keseluruhan  172 pingat yang dimenangi. 

Pencapaian terbaik Johor sebelum ini ialah selaku naib johan ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1992. 

Pelaburan Johor dalam sukan kanu ternyata memberi pulangan lumayan sebagai penyumbang terbesar emas yang membantu kontinjen selatan tanahair itu menjulang kejuaraan sebagai juara SUKMA buat kali pertama. 

Nyata sekali, strategi menumpukan perhatian pada sukan tertentu memberikan kelebihan buat Johor yang nyata mendominasi kanu yang menyumbangkan jumlah besar 23 emas, olahraga 9 emas, berbasikal 11 emas, 7 dari renang, menembak (5) dan wushu (6).

Sukan-sukan lain yang turut menyumbang kejayaan Johor termasuk memanah, badminton, e-sports, judo, karate, muaythai, pencak silat, petanque, bola tampar dan angkat berat. 

Sasaran juara lima kali Terengganu mengulangi kejayaan juara kseluruhan 2018 tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati bergelar naib juara selepas kali ini dengan meraih 64 emas, manakala Wilayah Persekutuan yang merupakan bekas juara 2014, menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 55 emas. 

Bekas juara tiga kali Sarawak, juga pernah tergolong sebagai kuasa sukan negara, mengekalkan kedudukan ke-4 biarpun dicabar hebat Selangor, Sabah, Pulau Pinang dan Perak di penghujung saingan. 

Selangor, juga pernah bergelar juara sebanyak 9 kali, gagal mengekalkan reputasi sebagai gergasi sukan tanahair kali ini, sekadar menduduki tangga ke-5 keseluruhan dengan kutipan 31 pingat emas dengan renang menjadi penyumbang terbesar 9 emas, menembak (4), petanque (2), karate (2) dan bola tampar pantai (2).  

Keseluruhannya, 426 pingat emas dimenangi pada edisi 2022 menerusi 34 jenis sukan yang dipertandingkan sepanjang 13 hari lepas. 

Antara aksi yang tentunya kekal dalam ingatan termasuk pertembungan 100m yang akhirnya menjadi milik Muhammad Azeem Mohd Fahmi yang mencatatkan masa 10.25s manakala Terengganu menamatkan penantian 12 tahun meraih emas keramat dalam bolasepak apabila menumpaskan Pulau  Pinang 2-0. 

Pada saingan terakhir hari ini, Sarawak pulang dengan 4 emas dalam tinju (2) dan pencak silat (2) manakala Perak meraih satu emas masing-masing dalam kriket, boling padang dan pencak silat. 

Melaka menyerlahkan kekuatan sebagai kuasa badminton SUKMA apabila meraih tiga daripada lima emas menerusi beregu lelaki, beregu wanita dan bergeu campuran. 

Wilayah Persekutuan melengkapkan cabaran 13 hari dengan dua emas, sebagai juara bola jaring dan satu emas dalam pencak silat. Begitu juga, Pulau Pinang yang menang dua emas menerusi silat dan tinju. 

Selangor meraih emas menerusi pemain badminton perseorangan wanita Siti Nushuhaini Azman manakala Kedah (Berbasikal Cross Country Olimpik), Pahang (pencak silat), Negeri Sembilan (pencak silat) dan Perlis (boling padang).

Tirai penutup SUKMA XX MSN 2022 dilabuh secara rasmi malam ini bertempat di DECTAR, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi dengan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu. 

- Advertisement -