PELUMBA KSPO dari Korea Selatan, Seo Joon Yong mengukir sejarah tersendiri apabila muncul pelumba kedua negaranya yang berjaya memenangi peringkat dalam sejarah 20 tahun Le Tour de Langkawi apabila tiba secara solo di akhir Peringkat 5 LTdL 2015, hari ini.
Selain muncul pelumba ke-11 Asia yang menang dalam jelajah terbesar Asia itu, pelumba 27 tahun dari Seoul itu juga menebus kehampaannya sebelum ini apabila menduduki tempat kedua di Kuantan, beberapa tahun lalu.
Buat pertama kali juga, pelumba benua Asia menguasai sembilan daripada 10 pelumba terbaik, dengan Seo yang menamatkan kayuhan terpanjang sejauh 200km dari Kuala Terengganu itu dengan masa 4 jam 18 minit 47 saat, mengatasi lima pelumba lain yang tiba 13 saat di belakangnya.
Tempat kedua peringkat itu dimenangi pelumba Pegasus dari Indonesia, Jamalidin Novardianto manakala pelumba TSG, Adiq Husaini Othman di tempat ketiga, ketika kelompok besar peloton tiba kira-kira 14 minit 20 saat kemudian.
Selepas beberapa kali gagal sebaik dilepaskan, Seo dan tujuh pelumba lain membuat pemecahan selepas jarak 50km, sebelum pelumba kelahiran Seoul itu meloloskan diri pula pada baki kira-kira 20km untuk tiba secara solo di garisan penamat.
Ketika kelompok besar memilih Peringkat 5 sebagai hari rehat, Joon Yong serta Jamalidin, Adiq, Yasuharu Nakajima (Aisan), Patria Rastra (Pegasus), Meher Hasnaoui (Skydive Dubai) dan Loh Sea Keong (Malaysia) dan pelumba Colombia, Juan Molano Benavides bekerjasama baik untuk menjarakkan diri sehingga satu ketika berada kira-kira 18 minit di depan.
Pada baki 50km, Joon Woon yang mengakui sentiasa tampil dengan sikap positif untuk mencari kemenangan peringkat, menyedari peluang terbaiknya untuk merealisasikan impian itu, lantas bertindak bersendirian pada baki 20 kilometer.
“Saya pernah di tempat kedua di Kuantan, dua tahun lalu dan gembira akhirnya menang di sini. Sebaik perlumbaan bermula, saya cuba beberapa kali untuk meloloskan diri tetapi gagal.
“Kemudian ada sekumpulan pelumba membuat pemecahan dan saya mengekori mereka dan saling bekerjasama untuk melebarkan jurang dan terkejut apabila mendapati peloton seolah-olah tidak cuba mengejar.
“Pada baki 20km, saya keluar daripada kumpulan depan dan apabila melihat tiada seorangpun cuba mengejar, saya terus berkayuh dengan pantas dan menang. Saya berbangga dengan usaha saya hari ini,” kata Joon Yong.
Penyarung jersi kuning pendahulu keseluruhan, Caleb Ewan (Orica GreenEdge) menganggap ia adalah hari rehat buat kebanyakan pelumba yang menyimpan tenaga untuk peringkat penentuan ke Bukit Fraser, Sabtu ini.
Malah, dia menganggap juga menyifatkan ia hari untuk pakar pecut berehat dan menghadapi satu lagi peringkat kegemaran mereka yang landai dan pendek, dari Maran ke Karak sejauh 96.6km, esok.
“Kami sedar tiada pelumba dalam kumpulan depan yang boleh menggugat kedudukan kami, jadi tiada kesungguhan daripada mana-mana pasukan termasuk Orica dan Astana untuk mengejar, melainkan hanya memerhati antara satu sama lain.
“Sekurang-kurangnya kami dapat berehat selepas bekerja keras semalam kerana sedar hari ini adalah peringkat yang panjang dan cuaca juga panas. Mujur angin bertiup dari arah belakang di sepanjang pantai,” katanya yang tidak sabar untuk menambah satu lagi koleksi kemenangan di Karak, esok.
Selain jersi kuning pendahulu keseluruhan, sensasi pecut baru itu juga masih mengekalkan jersi biru Raja Pecut, 11 mata di depan Andrea Guardini (Astana) dan manakala jersi merah Raja Bukit juga selamat dalam genggaman pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen serta pelumba Giant-Champion Systems, Zhang Wen Long masih menjadi Pelumba Terbaik Asia.