20160110-Resorts World Genting Purple League - Kepong BC(pink)-Tee Jing Yee-004

Resorts World Genting Champions Challenge - Logo 240x276Kelab Badminton Kepong menamatkan Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting di tempat ketiga setelah menundukkan Kelab Badminton Ampang Jaya 9-2 di Arena of Stars, di sini dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM68,000.   

Kepong gagal mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi musim lalu setelah dikecewakan kebangkitan dramatik lewat Puchong United pada aksi separuh akhir yang berlangsung Sabtu, yang mana menyaksikan mereka tewas 11-10 setelah mendahului 10-8.

Dan berdepan Ampang Jaya pada perlawanan klasifikasi tempat ketiga, Kepong tidak bermasalah untuk mencatat kemenangan tanpa memerlukan beregu lelaki dan perseorangan lelaki terakhir turun beraksi setelah Wei Nan, Deng Xuan dan Mei Qi Li/Ong Jian Guo menewaskan lawan masing-masing.

Wei Nan, pemain di kedudukan ke-16 dunia dari Hong Kong mengetepikan tentangan sengit Lee Cheuk Yiu 3-2 (6-11, 11-6, 7-11, 11-6, 11-9) manakala Deng Xuan pula mudah menewaskan Desiree Siow 3-0 (11-8, 11-6, 11-10).

Gandingan bekas pemain kebangsaan Jian Guo dan pemain China, Qi Li mengesahkan tempat ketiga milik Kepong apabila menewaskan Anna Cheong/Kuan Kam Chung juga dengan keputusan 3-0 (11-8, 11-10, 11-10).

Pengurus pasukan Kepong, Wong Kok Wai berkata kegagalan mempertahankan kejuaraan adalah satu kekecewaan besar namun kagum dengan persembahan ditunjukkan pemainnya sepanjang kejohanan berlangsung dan berpendapat mereka ada sebab untuk berbangga dengan pencapaian ini.

“Kia sudah buat yang terbaik. Jika kita layak ke perlawanan akhir semalam (Sabtu), saya yakin kita boleh tewaskan Muar City. Tapi sayang kita kalah tipis, perseorangan terakhir (Panji Akhbar) baru pulih dari demam campak dan staminanya belum pulih sepenuhnya. Dia juga pertama kali beraksi di gelanggang ini jadi sukar buat dia sesuaikan diri.

“Apapun kita datang sini sebagai juara bertahan, saya beritahu pemain tidak perlu fikir tentang menang atau kalah, hanya berikan yang terbaik dan mereka lakukannya dengan baik ketika separuh akhir dan juga hari ini untuk kita duduki tempat ketiga,” ujar Kok Wai. 

Ampang Jaya yang menduduki tempat keempat membawa pulang RM48,000 dan pengurus pasukan Ho Khek Mong mendedahkan mereka akan memancing bintang badminton dari China untuk memperkuatkan cabaran pasukan selepas ini.

“Kita akui untuk mencabar dengan lebih serius kita perlukan pemain-pemain yang lebih bagus. Kita bercadang bawa masuk dua pemain perseorangan dari China, saya tidak boleh dedahkan nama pemain kerana takut menganggu perbincangan. Tetapi saya boleh katakan ianya pemain bintang dan kita hanya boleh teruskan perbincangan lanjut dengan dia selepas jadual Purple League yang baru keluar,” jelas Khek Mong.

Pada aksi akhir yang akan berlangsung jam 2 petang, Muar City akan berdepan Puchong United – untuk rekod, Puchong United mencalarkan rekod bersih Muar City apabila muncul satu-satunya pasukan yang menewaskan juara Purple League 2015 itu dalam kempen liga dan mereka membawa misi membalas dendam untuk melengkapkan kejuaraan berganda.

- Advertisement -