Khairul_Hafiz_Jantan

Oleh Ku Mohd Lufti

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menggelar raja pecut SUKMA 2016, Khairul Hafiz Jantan dengan nama ‘The Flying Youth’.

Ia susulan kecemerlangan pe;umba berusia 18 tahun itu meraih emas keempat selepas membantu Melaka memenangi emas dalam acara 4×400 meter lelaki.

Malah, Idris melihat Khairul dan Badrul Hisyam Abdul Manap merupakan permata baru untuk Malaysia dalam olahraga.

“Layaklah beliau (Khairul Hafiz) digelar pemuda paling laju atau ramai yang bertanya saya apa kita nak namakan beliau seperti raja pecut sebelum ini, jadi saya kira yang terbaik ialah ‘The Flying Youth’ orang muda terpantas di negara ini.

“Tahniah Khairul (Hafiz), Badrul (Hisham) dan rakan-rakan lain kerana berjaya mencipta nama untuk Melaka serta memecah rekod Sukma dan kebangsaan… moga mencapai kejayaan selepas ini di Sukan SEA, Sukan Asia seterusnya Sukan Olimpik…saya bangga dengan kamu semua,” kata Idris.

Nama Khairul mula melonjak apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, Rabu lepas.

Malah, Khairul turut meraih pingat emas acara 200m dan memperbaharui rekod kejohanan dicatatkannya semalam iaitu 21.14s, yang mengatasi rekod terdahulu berusia 14 tahun milik Raja Pecut Sukan SEA 2003, Nazmizan Mohammed dari Terengganu dengan catatan 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah.

Dua raja pecut negara sebelum ini iaitu Tan Sri Dr M. Jegathesan digelar ‘The Flying Doctor’ manakala gelaran ‘The Flying Dayak’ diberikan kepada Watson Nyambek.

- Advertisement -