Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Celebrity Fitness, pengendali rangkaian pusat kecergasan terbesar di Malaysia, hari ini menjalin kerjasama untuk memastikan tahap kecergasan pemain hoki kebangsaan sentiasa di tahap tertinggi menjelang beberapa kejohanan penting sehingga tahun depan.

Majlis pengumuman rasmi Celebrity Fitness sebagai “Rakan Kecergasan Rasmi Skuad Senior Lelaki Kebangsaan 2022-2023” berlangsung di ibu pejabat KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Hadir pada majlis tersebut termasuk Ketua Jurulatih Lelaki Kebangsaan Arul Selvaraj, Pengarah Teknikal Pembangunan KHM Paul Revington, Pengurus Pengaktifan Kecergasan Celebrity Fitness Benny Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif KHM Norfaraha Hashim dan Ketua Kecergasan KHM yang baru dilantik, Tom Drowley.

Menurut Arul, kerjasama dengan Celebrity Fitness itu juga bertepatan dengan perlantikan jurulatih kerjasama Tom Drowley yang secara rasmi diumum sebagai Ketua Jurulatih Kecergasan dan Suaian Fizikal Skuad Hoki Kebangsaan pada majlis yang sama.

Drowley, 35, dari United Kingdom, berpengalaman lebih sedekad dalam sukan elit termasuk tenis antarabangsa, ragbi professional selain tujuh tahun sebagai pakar fizikal skuad Hoki Britain di peringkat dunia dan Olimpik.

Arul berkata, KHM melahirkan penghargaan dapat bekerjasama dengan Celebrity Fitness, yang mempunyai lebih 22 rangkaian gymnasium khususnya di Kuala Lumpur dan Johor, untuk pembangunan dan kemajuan hoki negara.

Menerusi kerjasama tersebut, Celebrity Fitness menyediakan gymnasium dan peralatan kecergasan untuk digunakan pemain skuad kebangsaan lelaki, terutama semasa fasa tiada kejohanan, latihan atau “off-period”.

“Sekali pun kita juga mempunyai gymnasium sendiri yang digunakan sebelum ini termasuk di Institut Sukan Negara dan gimnasium KHM sendiri di Stadium Hoki Nasional 2, penglibatan Celebrity Fitness amat dialu-alukan bagi memberi nilai tambah selain membolehkan pemain terus berlatih pada masa tiada kejohanan,” kata Arul.

“Malahan, pemain sudah mula menggunakan kemudahan di Celebrity Fitness berdekatan di Endah Parade dan memberi reaksi positif, terutama dalam apsek kebersihan, peraturan ketat SOP untuk keselamatan kesihatan dalam masa pandemik dan sebagainya,” kata Arul.

Skuad lelaki senior negara kendalian Arul kini dalam rangka persiapan menghadapi beberapa kejohanan penting termasuk Piala Asia Mei ini dan juga Sukan Asia pada September ini.

 

- Advertisement -