Ho Mun Hua

Sebut sahaja nama atletnya seperti Ho Ro Bin semestinya ramai yang akan dapat membayangkan ketangkasan pergeraknya ketika di gelanggang dalam acara Nandao dan Nanqun, begitu juga dengan kelembutan dan ketangkasan Chai Fong Ying dalam acara Taijiquan dan Taijijian.

Kejayaan atletnya meraih pingat dalam setiap kejohanan, kreadibiliti kepimpinan dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan wushu di negara ini membolehkan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Sukan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2015.

Apabila memperkatakan tentang Persekutuan Wushu Malaysia, komuniti sukan tahu bahawa mereka tidak pernah menghampakan negara dalam meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan.

“Bukan itu sahaja, malahan WFM turut dilihat berjaya menguruskan perjalanan persatuan dengan berkesan tanpa masalah.

“SAM menilai pencapaian persatuan bukan sekadar jumlah bilangan pingat di kejohanan yang disertai tetapi dari keseluruhan perjalanan operasi persatuan,” kata Naib Presiden merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah SAM-100PLUS 2015 Norismadi Abdul Manap.

WFM turut mempamerkan kreadibilitinya dalam menganjurkan siri klinik kejurulatihan peringkat kebangsaan dan menyediakan program pembangunan untuk mengilap bakat-bakat baru sukan wushu.

Pada Kejohanan Wushu Dunia tahun lepas di Jakarta, Indonesia, skuad negara menamatkan kempen Kejohanan Dunia ke-13 di tangga keenam dengan tiga pingat emas, empat perak dan empat gangsa.

Pingat emas negara diperoleh menerusi Ho Mun Hua dalam acara Nandao lelaki, Chan Lu Yi (Taijiquan wanita) dan Loh Jack Chang (Taijiquan lelaki).

Sementara di temasya Sukan SEA di Singapura pula mereka membawa pulang dua pingat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Tahun lepas Anugerah Persatuan Dinamik diberikan kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF).

- Advertisement -