100PLUS.latestSetelah ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala FA oleh Perak Jumaat lalu, Kuala Lumpur kembali berpijak di bumi nyata dan mengalih semula fokus mereka untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas 100PLUS Liga Premier yang akan kembali bersambung pada Isnin.

Skuad helang kota itu ketika ini menerajui saingan Liga Perdana dengan kelebihan dua mata ke atas empat pencabar terdekat dan aksi liga yang kembali bersambung setelah hampir tiga minggu berehat bakal menyaksikan skuad bimbingan Ismail Zakaria bertandang ke Kuantan untuk bertemu tuan rumah Kuantan FA.

Kuala Lumpur masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Premier namun dua kekalahan kepada Perak dalam pertandingan Piala FA membuktikan masih banyak kerja rumah yang perlu dibuat Ismail, terutamanya di dalam meningkatkan persefahaman dan keserasian antara pemain dan paling penting sudah tentunya sentuhan penyudah yang ketara begitu tumpul.

“Kami belajar sesuatu dari perlawanan lalu (Perak), pemain mencipta peluang tetapi dihukum kerana tidak menyudahkannya. Pemain-pemain perlu bersatu sebagai satu pasukan, adalah penting untuk mereka segera bangkit melupakan kekalahan ini dan kembali fokus terhadap cabaran dalam liga.

“Perjalanan masih panjang dan kita perlu membina konsistensi, pemain-pemain saya mempunyai karakter yang hebat, mereka sedar tanggungjawab mereka kepada pasukan dan penyokong. Kita akan perbaiki kelemahan dan turun bertemu Kuantan dengan mentaliti mahu pulang dengan kemenangan,” jelas Ismail.

Kegagalan Kuala Lumpur mengutip mata penuh di Kuantan mungkin menyaksikan kedudukan mereka selaku pendahulu tergugat kerana pencabar terdekat, Negeri Sembilan berpotensi merampas tangga teratas seandainya berjaya menewaskan Sime Darby di Selayang.

Skuad Gary Michael juga masih belum tewas selepas lima perlawanan dan menghuni tangga kedua dengan sembilan mata, hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri.

Selain itu, tumpuan juga seharusnya terarah kepada PKNS Selangor yang sedang berada di kemuncak prestasi dengan catatan tujuh kemenangan berturut-turut.

Ianya pencapaian terbaik PKNS Selangor sejak 2011 di mana kemenangan terbaru dalam aksi Piala FA Jumaat lalu menyaksikan skuad bimbingan E.Elavarasan itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA menerusi kemenangan aggregat 7-2 ke atas Sime Darby.  

PKNS bagaimanapun berdepan cabaran sukar untuk melebarkan rekod kemenangan mereka kepada lapan perlawanan kerana lawan yang menanti adalah Johor Darul Takzim II yang sudahpun bangkit daripada prestasi hambar awal musim dan ketika ini turut mencari kemenangan ketiga berturut-turut.

Dalam perlawanan lain, DRB Hicom yang turut ketinggalan dua mata di belakang Kuala Lumpur melayan kunjungan Perlis di Tanjung Malim, Sabah dan ATM pula berentap sesama sendiri mencari kemenangan sulung mereka musim ini manakala Melaka berdepan Uitm FC di Stadium Hang Jebat pada Selasa.

- Advertisement -